Rabu, 29 Julai 2009

ALAM JIN

Mengikut penulisan yang ditulis oleh HJ Abdul Halim Bashah, alam ini selain dihuni oleh manusia, ia juga dihuni oleh makhluk ghaib yang bernama jin. Alam kedua-dua makhluk ini letaknya sangat berdekatan bahkan boleh dikatakan letaknya saling bertindih (Cuma dimensinya sahaja yang berbeza. Dan ada antaranya hidup berkeliaran dengan manusia di rumah-rumah, menyerupai kucing dan ular).

Sesuatu tempat itu, mungkin tempat kediaman jin ataupun mungkin perkampungannya. Sebab itu bila berada di tempat yang kita belum kenal keadaanya, janganlah bertindak sebarangan atau bercakap besar dan takbur. Ini kerana selain dosa takbur dan belagak, takut nanti perlakuan kita itu sacara tidak sengaja akan menganggu ketenteraman jin dan menjadikan ia marah. Harus diingat, jika sesama manusia pun mungkin akan melukakan hati jika kita berlagak dan takbur, begitu juga dengan jin. Mereka juga ada kehidupan dan ada pelbagai perangai sama ada baik atau jahat.

Kebanyakan manusia walaupun percaya adanya makhluk ini disekelilingnya, tapi kerana tidak nampak, maka mereka mudah terkena tipuan dan godaannya. Dengan ini patutlah kita sedari, bahawa syaitan itu selalu mengintip manusia bagi mencelakakan serta membinasakan anak adam. Sesungguhnya, jin adalah makhluk yang juga mempunyai akal seperti manusia. Ia tidak dapat kita lihat dalam bentuk aslinya. Manusia hanya dapat melihatnya apabila mereka menjelma dalam bentuk berjirim.

Menurut kejadiannya, jin ini merupakan makhluk yang perkasa yang boleh menunduk dan mengalahkan manusia. Namun mereka dengan izin Allah s.w.t tidak mempunyai ruang untuk menyambar manusia kerana Allah s.w.t menjadikan bagi manusia (yang sentiasa mengingatiNya) malaikat-malaikat penjaga yang lebih gagah lagi daripada jin. Dan dengan dua orang malaikat yang sentiasa berada disampingnya, manusia dengan izin Allah s.w.t dapat mengalahkan jin dengan mudah. Jika Allah s.w.t berkehendakkan sesuatu perkara terjadi atau bagi menyempurnakan Qadha atau Qadarnya maka akan berengganglah (menjauhkan) malaikat itu daripada manusia. Pada ketika itulah dikala manusia lalai, maka jin berpeluang untuk menundukkan manusia.

Sesungguhnya tubuh jin dan manusia itu terbina daripada bahan yang boleh musnah, maka terjadinya kemusnahan dan kematian itu, turut sama dialami oleh kedua-dua makhluk ini kecuali iblis yang dilaknat. Kerana dijanjikan Allah s.w.t akan kematiannya

sebelum sangkakala yang pertama ditiupkan.

Kewujudan Jin dan Iblis

Orang-orang arab zaman jahiliah mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ini dan kemudiannya diperkuatkan lagi bila datangnya agama Hanif (pengikut agama tauhid), walaupun begitu terdapat satu golongan daripada puak muktazilah yang mengingkarinya. Islam mengwajibkan pengikutnya beriman akan adanya jin. Orang yang mengingkari kewujudan jin dianggap kafir, sebabnya ianya telah menolak sebahagian isi kandungan Al-Quran.

Allah s.w.t telah mencipta jin sebelum Adam a.s dijadikan, dimana dikalangan mereka yang disebut ‘al-Bun’ telah terlebih dahulu mendiami bumi. Tetapi makhluk al-bun ini telah melakukan kerosakkan di muka bumi sehinggalah Allah memerintahkan malaikat yang diketuai oleh iblis memerangi mereka. Mana-mana yang tidak mati dalam peperangan diusir sehingga mereka lari dan tinggal di dalam lautan. (Sebab itu terdapat berbagai-bagai penunggu yang mendiami pulau-pulau terpencil di tengah laut)

Dalam Al-Quran, surah yang ke-72 iaitu Al-Jinn (diturunkan Di Mekah), yang mengandungi 28 ayat. Banyak membicarakan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan perkara ini. Jin tidak sama dengan manusia dan tidak pula dengan malaikat (dari segi jisim dan asal kejadian). Namun demikian, jin lebih dekat dengan manusia persamaannya dengan manusia iaitu dari segi akal dan dapat membezakan baik dan buruk sesuatu perkara itu. Mereka juga hidup seperti manusia, makan minum, berkelamin, mempunyai keturunan, berilmu, mempunyai akal, usaha dan ikhtiar. Serta dipertanggungjawabkan untuk beribadat kepada Allah s.w.t (taklif) dan ditegah melakukan kekufuran dan kemaksiatan.

Asal Usul Jin

IBN Abbas r.a meriwayatkan bahawa sesungguhnya di antara langit dan bumi di tengah-tengahnya terdapat lautan api yang tidak berasap dan dikatakan jin dan syaitan diciptakan oleh Allah s.w.t dari bahagian lautan api tersebut. “Dan Allah telah ciptakan Jaann daripada nyalaan api yang sangat panas,”- (Ar-Rahman: 15) ramai yang mentafsirkan kata ‘maarij’ di atas lidah api.

Ibnu Mas’ud telah berkata, “Angin Samuun di dunia ini hanyalah sebahagian daripada 70 bahagian daripada angin yang sangat panas yang daripadanya Allah menjadikan Jaann.” Ada keterangan dalam hadis bahawa angin ini adalah daripada pembakaran neraka jahanam.

Jaann adalah bapa segala jin, sebagaimana Adam ialah bapa sekalian manusia. Manakala syaitan adalah sebahagian daripada jin kafir. Mereka yang menjadi syaitan, lazimnya bersifat ingkar malah tugasnya mendorong atau membawa manusia kepada kerosakkan akidah. Hatinya sudah tertutup untuk mencari jalan kebenaran. Jin yang mukmin tidak dinamakan syaitan. Iblis juga dikatakan dari keturunan jin, walaupun ada sesetengah pendapat yang mempertikaikan dan mengatakan iblis itu asalnya daripada golongan malaikat. Pendapat ini berdasarkan kepada Ayat Al-Quran surah ‘al-Baqarah’ ayat 34. Ibn Kathir bagaimanapun menolak hujah ini kerana surah ‘Al-Kahf’ ayat 50 lebih jelas menyebut iblis itu dari golongan jin. “Dan apabila kami berkata kepada malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia adalah daripada golongan jin, lalu ia ingkar akan perintah Tuhannya.”

Umur Jin / Syaitan

Umur jin tidaklah dikirakan menurut hari (siang dan malam), tetapi dikira menurut ratusan dan ribuan tahun. Ada di antaranya yang berusia tiga ribu tahun, ada yang empat ribu, lima ribu dan ada yang mencapai enam ribu tahun. Bahkan ada yang hampir dengan umur dunia walaupun sedikit jumlahnya. Akan tetapi dikalangan syaitan ada yang seperti iblis hidup sejak dahulu lagi. Misalnya kelima-lima anak iblis yang sampai hari ini mereka masih lagi hidup.

Makhluk jin termasuk syaitan dipanjangkan umur mereka sehingga bila dagu dan lutut mereka sudah bersentuhan lantaran sangat tua, mereka akan menjadi muda kembali. Biar pun Allah s.w.t memanjangkan umur mereka, namun mereka juga akan mati. Sebagaimana manusia, setelah mati akan kembali menjadi tanah, jin kembali kepada api, kecuali apabila jin-jin ini menjelma kepada tubuh ketanahan (seperti manusia, ular, anjing dan kucing) dan apabila dia dibunuh oleh manusia pada masa itu dalam bentuk jelmaannya, maka ia akan mati dalam bentuk yang dijelmakannya itu.

Tetapi iblis berumur panjang sehingga ke hari kiamat. “Panjangkanlah umurku sampai hari mereka dibangkitkan.” Allah s.w.t menjawab, “Sesungguhnya engkau termasuk di antara mereka yang dipanjangkan umurnya.” – (al-A’raf: 14-15). Sebahagian ahli tafsir berkata, iblis akan dimatikan sebelum tiupan sangkakala pertama lagi. Dalam dunia jin, usia perkahwinan berkisar antara 170 hingga 250 tahun. Usia ini dipandang sebagai usia perkahwinan yang paling baik.

Terdapat hadis yang menyatakan Allah s.w.t telah menjadikan malaikat, jin dan manusia kepada 10 bahagian. Nisbah bilangan manusa hanyalah 1%, bilangan jin 9% manakala malaikat ialah 90%. Rasulullah s.a.w pernah bersabda (maksudnya) “Sesungguhnya Allah mencipta malaikat, jin dan manusia itu 10 bahagian. Kadar keramaian malaikat ialah 9 bahagian, sedangkan jin dan manusia itu hanya 1 bahagian. Kemudian dari satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian kecil. Sembilan bahagian daripadanya adalah bilangan jin, manakala hanya satu bahagian sahaja bilangan manusia.

Isnin, 27 Julai 2009

MISTERI PENGEMBALA GAJAH

Aku masih ingat lagi kejadian yang menyeramkan itu. Waktu itu aku yang sedang bekerja di sebuah syarikat swasta di Ibu Kota dikehendaki pulang segera ke kampung sejurus mendapat panggilan telefon yang menyatakan ibuku sakit tenat.

Ketika itu pukul 8.00 malam dan aku baru pulang kerja. Aku terpaksa memecut kereta untuk segera sampai ke kampungku di Pantai Timur.

Oleh kerana terlalu risau, aku sudah tidak menghiraukan keselamatan diri. Kereta Proton yang aku pandu dipecut selaju-lajunya. Tambahan pula apabila melalui lebuh raya, pada waktu malam begini tidak banyak kenderaan yang menggunakan lebuhraya tersebut.

Panggilan kedua daripada salah seorang kakakku tambah mengecutkan lagi hatiku. Terkenang aku senyum tawa dan gurau senda ibu tersayang. Aku berdoa agar sempat untuk dipertemukan dengannya buat kali terakhir.

Simpang masuk ke kampungku semakin hampir. Waktu itu sudah pukul 11,30 malam. Hati agak lega kembali walaupun jalan di situ sunyi sepi tanpa sesiapa yang melaluinya. Namun takdir mengatasi segala-galanya. Sesampainya aku di satu selengkoh, kelihatan sekumpulan gajah liar melintasi jalan raya dan secara spontan juga aku terlihat ada pengembala yang mengepalai kumpulan gajah liar itu.

Pengembala yang berpakaian serba hitam itu, memegang sebatang tongkat sambil tersenyum memandang ke arahku. Aku kehairanan dan sekaligus gagal mengawal stereng kereta. Sudahnya, keretaku terbabas dan berpusing-pusing beberapa kali di tengah jalan raya sebelum menjunam di cerun bukit yang tingginya lebih dari satu meter. Aku pengsan.

Apabila sedar, aku berada di wad ICU setelah hampir 7 hari koma. Aku cedera parah dibahagian kepala dan dada. Manakala sebelah tanganku pula tidak dapat diselamatkan lagi.

Ibu pula mengadap Ilahi beberapa jam selepas tragedi itu menimpaku. Aku dimaklumkan bahawa tempat itu memang berpenunggu dan ramai yang telah menjadi korban kemalangan. Kejadian gajah liar bersama gembalanya adalah salah satu kejadian aneh yang sering berlaku di kawasan itu. Aku pasrah dan redha dengan ketentuan-Nya

PUNGGUNG DI TEPUK MAYAT PONDAN

“ Helo Pak Raman ni,” Rahman Abdullah 65 termengah-mengah menjawab telefon. Sewaktu deringan telefon berbunyi dia masih lagi di luar rumah. “ Akulah Haji Tapa, eh, kita kena ke hospital sebab ada jenazah yang nak diuruskan malam ni,” beritahu rakannya Haji Mustapa.

“ Aku nak makan kejap ye, kita jumpa di hospitallah,” lalu Pak Raman pun meletakkan ganggang telefon. Dia makan alar-kadar dan agak tergopoh-gapah kerana ada jenazah yang menanti di sebuah hospital di selatan tanah air yang perlu diuruskan pada malam itu juga. Sebagai pengurus jenazah, tugas seperti ini tidak boleh ditolak. Mujur juga ada Haji Mustapa, dulu dia terpaksa mengurus jenazah pukul 12 tengah malam seorang diri.

Brummm..! Brummmm! Brumm! Motosikal Honda Pak Raman membelah malam menuju ke hospital yang dimaksudkan. Lebih kurang lima belas minit Pak Raman pun sampai di perkarangan wad menyimpan mayat..

Tepat pukul 11 malam, Pak Raman sudah berada di hospital. Haji Tapa baru saja sampai. Jenazah belum dapat diserahkan kepada Pak Raman untuk dimandikan kerana ada sedikit urusan yang belum beres. Sementara itu, mereka berdua mengemaskan tempat memandikan jenazah dan menyediakan kelengkapan seperti sabun dan lain-lain untuk mempercepatkan kerja kerana malam semakin larut dan hospital itu pula sunyi sepi.

“ Pak Raman, ini jenazahnya,” kata seorang pembantu hospital yang menolak troli keluar dari kawasan bilik mayat hospital tersebut. Jenazah itu ditolak ke bilik pengurusan mayat. Setelah diturunkan dari troli, jenazah itu seterusnya diangkat ke tempat mandi. Badan mayat itu kelihatan kekuningan, seorang lelaki dalam usia 30-an dan meninggal dunia kerana demam panas.

Tidak ada saudara mara atau sahabat handai yang datang menziarahinya. Pada pengamatan Pak Raman, jenazah itu tidak seperti lelaki biasa. Dia lembut, Haji Tapa tersenyum. Dia juga faham jenazah lelaki yang mereka uruskan ini bukanlah lelaki biasa tetapi lelaki lembut. Walaupun begitu, kewajipan ini perlu ditunaikan. Apa yang berlaku kepada lelaki ini sebelum dan sesudah ia mati hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t saja.

Selepas setengah jam dari masa jenazah ini diterima, maka kerja-kerja memandikannya pun bermula. Haji Tapa kebetulan keluar sekejap untuk mengambil sesuatu, dan tinggallah Pak Raman meneruskan kerja tersebut seorang diri dulu. Jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam.

Pak Raman pun menyabun badan si mati. Entah bagaimana, ketika menggosok badan jenazah itu, sabunnya terlepas dan terjatuh. Lalu Pak Raman mencari-cari sabun tersebut yang terjatuh di dalam longkang. “ Pukk!” Pak Raman terasa punggungnya dtepuk orang ketika dia menonggeng-nonggeng mencari sabun dalam longkang.

“ Apa main punggung ni Ji?” marah Pak Raman yang menyangka Haji Mustapa bergurau menepuk punggungnya.

“ Bila saya dapat ambil sabun dan menoleh ke belakang ternyata Haji Mustapa tak ada. Tapi saya lihat tangan Mayat yang saya kiamkan sebelum itu telah terkulai. Matanya terbuka, dia macam tersenyum. Lalu saya membetulkan kedudukan tangannya,” cerita Pak Raman.

Sejurus kemudian Haji Mustapa masuk semula ke bilik, dan pada ketika itu sekali lagi punggung Pak Raman ditepuk kuat. Kali ini sudah pasti bukan perbuatan Haji Mustapa. Namun Pak Raman tidak Nampak Haji Mustapa masuk. “Aji, janganla main punggung,” sekali lagi Pak Raman menuduh Haji Mustapa bergurau menepuk punggungnya.

“Bila saya main punggung Pak Raman,” balas Haji Mustapa kehairanan.

Pak Raman terdiam, dia perasan macam ada sesuatu yang tak kena ni. Lalu mata Pak Raman beralih memandang ke arah jenazah yang sedang diuruskannya. Berderau darahnya apabila sekali lagi dia melihat tangan mayat itu terjuntai untuk kali yang kedua. Matanya celik kembali dan seolah-olah sedang tersenyum. Lalu mahu tak mahu Pak Raman membetulkan semula kedudukan tangan jenazah tersebut. “Saya tutupkan mata dan meletakkan tangannya dalam keadaan kiam semula,” jelas Pak Raman lagi.

Setelah selesai memandikan jenazah lelaki lembut tersebut. Pak Raman berpusing untuk mengangkatnya, sekali lagi punggungnya ditepuk lembut. Ini kali ketiga punggungnya ditepuk. “Saya pasti bukan Haji Mustapa yang menepuk punggung saya, tapi jenazah lelaki lembut itu yang melakukannya sebanyak tiga kali,” ujar Par Raman bersungguh-sunguh.

Selepas kejadian kali ketiga punggungnya ditepuk, Pak Raman mengambil keputusan mendiamkan diri sahaja. Dia ada juga menjeling Haji Mustapa yang kelihatan tidak perasan apa-apa tentang kejadian yang telah berlaku terhadap dirinya. Mereka berdua meneruskan kerja menguruskan jenazah tersebut sehingga siap dan diserahkan semula kepada pihak hospital.

“Saya terasa tangan yang menepuk punggung saya itu lembut macam tangan perempuan. Tepukkannya tidaklah kuat tapi terasa,” cerita Pak Raman. Kejadian aneh itu tidak diceritakan kepada sesiapa kecuali kepada Haji Mustapa pada keesokkan harinya. Mereka berdua hanya ketawa lucu kerana selama ini belum pernah kejadian seumpama itu berlaku. “Hai, dia geram tengok punggung awak tu!” Kata Haji Mustapa sambil ketawa berderai selepas Pak Raman menceritakan kejadian pada malam tadi.

GANGGUAN BEBOLA API

Saiful telah membeli sebuah rumah teres dua tingkat di satu kawasan di Rawang. Pada satu hari minggu, Saiful telah bercadang untuk menjemput kawan-kawan sepejabatnya untuk bersama-sama membuat BBQ di rumahnya. Jadi, pada pagi itu dia telah membakar hutan lalang di belakang dan tepi rumahnya dengan tujuan untuk membersihkan kawasan rumahnya. Setelah membakar lalang-lalang tersebut, beliau telah keluar bersama-sama isterinya untuk membeli barang-barang keperluan untuk majlis BBQ tersebut.

Semasa pulang sesudah membeli-belah, isterinya menegur kerana masih terdapat api yang belum terpadam di bahagian belakang rumah mereka. Isterinya kemudian menunjukkan ke arah api yang sedang menyala di belakang rumah mereka. Namun yang anehnya, api itu kelihatan pelik. Melalui pengamatan Saiful, api itu kelihatan tidak bergerak-gerak, tidak seperti api lain yang lazimnya akan mengikut arah angin bertiup atau akan bergerak membakar di kawasan yang belum terbakar. Namun mereka tidak mengendahkan sangat hal itu kerana lebih tertumpu kepada majlis undangan malam nanti.

Pada malam itu, majlis BBQ yang diadakan berjalan lancar seperti yang mereka hajati. Setelah semua tetamu dan undangan pulang, mereka suami isteri juga mengambil peluang merehatkan badan dan tidur. Namun semasa mereka berdua sedang nyenyak tidur, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi jeritan di tengah katil antara mereka berdua. “Kenapa awak memekik tengah-tengah malam buta ni,” tanya Saiful sedikit marah kepada isterinya. “Mana ada, saya ingat abang yang memekik tadi,” balas isterinya pula.

Sedang mereka berdua terpingga-pingga dengan kejadian yang berlaku, tiba-tiba sahaja entah dari mana muncul bebola api di depan mereka. Keadaan di dalam bilik tidur itu menjadi semakin panas, dan mereka berdua hanya terpaku tanpa mampu berbuat apa-apa. “Mula-mula berbola api itu hanya terapung begitu sahaja. Tetapi kemudiannya ia menjadi semakin membesar dan suasana dalam bilik tidur menjadi semakin panas,” cerita Saiful.

Setelah berjaya mengumpul sedikit kekuatan, Saiful dengan segera menarik isterinya keluar dan dengan tergesa-gesa mereka meninggalkan rumah. Mereka terus menuju ke rumah emak mertua Saiful yang terletak di Sungai Besi. Keesokan harinya, mereka berdua mengalami sakit-sakit badan dan keadaan mereka semakin hari semakin teruk. Wajah Saiful dan isterinya menjadi semakin pucat, berat badan mereka juga semakin menurun. Akibatnya, Saiful tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap tugasnya.

Keadaan ini memaksa emak mertuanya meminta bantuan seorang bomoh untuk memulihkan semula keadaan mereka. Menurut pandangan bomoh tersebut, penunggu kawasan rumah mereka menjadi marah kerana kononnya rumah penunggu ini telah dibakar oleh Saiful semasa dia membersihkan lalang-lalang di kawasan rumahnya. Menurut bomoh ini lagi, penunggu itu mahu membalas dendam terhadap Saiful dan isterinya. Sekiranya tidak diubati, boleh mendatang kemudaratan yang teruk kepada mereka suami isteri. Namun apa yang penting semua ini terjadi dengan keizinan Allah belaka.
Setelah berikhtiar dengan berubat melalui bomoh tersebut, dengan izin Allah juga, akhirnya Saiful dan isterinya semakin pulih dari gangguan yang menimpa mereka. Saiful setelah itu, telah mengambil keputusan menjual rumah tersebut dan sekarang menetap di Petaling Jaya. Saiful menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk membakar kediaman penunggu tersebut. Hakikatnya pandangan mata kasar manusia seringkali membataskan kita dari mengetahui tentang alam-alam lain, hakikatnya alam makhluk lain juga wujud kerana mereka juga makhluk Allah s.w.t.

BERSEMUKA DENGAN PUAKA LAUT

Kawasan pantai di Pulau Pinang sememangnya menjadi pilihan para pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara untuk menikmati keindahan pantainya yang cantik. Batu Feringgi, Pantai Miami dan Teluk Bahang adalah antara lokasi yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk berehat atau pun untuk berkhemah.

Kawasan pantai lebih menjadi tumpuan oleh para peminat aktiviti luaran dari mengadakan aktiviti perkhemahan di kawasan hutan. Kawasan hutan lebih dianggap sebagai satu kawasan yang ‘keras’ dengan pantang larang daripada kawasan pantai yang dianggap selamat daripada pantang larang. Tetapi kawasan laut sebenarnya juga mempunyai gangguan dari makhluk-makhluk yang menghuni sekitar kawasan pantai.

Perkara ini di alami sendiri oleh seorang pemuda yang kerap berkhemah bersama kawan-kawannya sekiranya ia mempunyai masa terluang. Ismail Hassan, seorang pegawai di salah sebuah agensi swasta di Pulau Pinang menyatakan bahawa dia pernah diganggu oleh satu lembaga ketika berkhemah di Pantai Teluk Bahang bersama rakan-rakannya dua tahun lepas.

“Kami selalunya berkhemah di sana selama tiga hari dua malam. Selalunya masa inilah semua kawan-kawan dapat berkumpul bersama-sama selepas lama tidak berjumpa. Aktiviti sebeginilah yang mengeratkan lagi persahabatan kami semua,” jelas Ismail memulakan perbualan. “Kami selalunya berkhemah di Teluk Bahang kerana di sana terdapat kawasan yang redup, senang mendapat sumber air bersih dan dekat dengan Pekan Teluk Bahang. Kalau kami nak membeli apa-apa senanglah sikit.”

Ismail menyatakan mereka berkhemah selalunya seramai lapan ke sepuluh orang. Dia menyatakan bahawa lebih meriah jika ramai kawan-kawan yang turut serta dalam aktiviti yang diadakan. “Sekarang saya sudah lama tidak berkhemah bersama kawan-kawan. Maklumlah semua sudah sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Selepas saya mengalami kejadian diganggu semasa berkhemah dulu, saya menjadi kurang berminat untuk meneruskan hobi saya ini,” terang Ismail lagi.


‘Saya akui, saya memang agak penakut sedikit jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan saya yang lain. Saya agak kurang berminat untuk mendengar cerita-cerita hantu yang diceritakan oleh kawan-kawan saya. Tetapi semasa perkhemahan tersebut, saya sendiri mengalami kejadian yang menggerunkan itu,” katanya lagi.

“Kejadian diganggu oleh lembaga aneh berlaku semasa saya dan seorang lagi kawan saya iaitu Zizan, ditugaskan untuk mengambil air bukit yang terletak agak ke dalam sedikit dari lokasi perkhemahan. Berbekalkan sebuah lampu picit dan bekas air, kami berdua berjalan kaki sejauh lebih kurang 500 meter dari kawasan perkhemahan. Semasa mengambil air tersebut, kami tidak mengalami apa-apa keanehan. Tetapi ketika dalam perjalanan pulang ke khemah, kami telah dikejutkan oleh kemunculan satu lembaga aneh,” tutur Ismail lagi.
Ismail juga telah mengundang rakannya Zizan untuk sama berkongsi cerita tentang kejadian tersebut. Zizan turut menyambung kembali cerita seperti yang dimulakan oleh Ismail. Menurut Zizan semasa dalam perjalanan pulang ke khemah, dia melihat seperti ada orang yang berjalan ke arah mereka. Menurutnya pada ketika itu, jam menunjukkan hampit pukul 10 malam. Zizan memerhatikan lembaga tersebut kerana ia berjalan agak pelik sedikit dari cara manusia berjalan. Ia berjalan agak bongkok, manakala tangannya agak panjang dan hampir-hampir mencecah tanah.

“Mula-mula tu rasa biasa saja, tapi bila dah makin hampir barulah kami sedar bahawa itu bukanlah manusia biasa. Mukanya nampak bengkak dan lembam. Selain itu, ada bau yang amat busuk menyucuk ke dalam lubang hidung kami,” jelas Ismail pula. “Kebetulan pada masa itu si Zizan dengan tidak sengaja tersuluh ke arah mukanya. Jadi kami melihat muka lembaga tersebut seperti orang yang mati lemas, ada cecair yang mengalir dari mata dan hidungnya, matanya agak terbeliak memandang kami,” Zizan dengan segera menyuluh ke arah bawah setelah menyedari di depan kami bukanlah manusia biasa,” tambah Ismail lagi.

Disebabkan keadaan itu, Ismail dan rakannya Zizan terpaku di situ dan tidak tahu sama ada mahu maju ke depan atau berpatah balik kebelakang. Manakala lembaga itu hanya berdiri di tempat dimana mereka melihatnya pada kali pertama. “Ismail pada masa itu saya tengok dah menggigil di sebelah saya, mukanya pun dah bertukar menjadi pucat. Saya pun merasa takut juga pada masa itu, siapa yang tak takut kalau tiba-tiba sahaja muncul di depan secara langsung lembaga-lembaga aneh,” kata Zizan meneruskan cerita Ismail. “Ismail tanya saya apa yang nak buat pada masa itu. Saya sebenarnya dah tak tahu nak buat apa-apa. Nak tunggu kat situ lagi takut, manalah tahu tiba-tiba lembaga itu angkat geng ka?” Kata Zizan dalam keadaan berseloroh.

Selepas tenggelam punca hampir seketika, Zizan mengambil keputusan untuk lari sahaja pulang ke khemah. Tetapi Ismail tidak bersetuju kerana dia tidak yakin untuk melintasi lembaga tersebut. Ini adalah kerana untuk pulang ke khemah mereka mesti melalui jalan dengan melintasi lembaga itu. “Tapi bila saya tengok lembaga itu mula bergerak ke arah kami, terus saya katakan kepada Zizan yang saya dah bersedia untuk memecut ke khemah. Daripada tunggu lembaga itu menghampiri kami, baik kami cabut awal-awal,” jelas Ismail sambil tersenyum. “Zizan menyuruh saya membaca Ayat Kursi sebanyak 7 kali, dan terus saya lakukan seperti yang disuruh olehnya. Kami melihat lembaga itu tiba-tiba terhenti, saya yakin bahawa ia takut untuk menghampiri kami kerana kami memohon dari Allah dengan membaca ayat-ayat Al-Quran. Kemudian Zizan mengajak saya untuk meneruskan perjalanan menuju ke khemah. Semasa berjalan menuju ke arah lembaga tersebut, mulut saya tidak terhenti-henti membaca Ayat Kursi. Saya langsung tidak menoleh ke arah lembaga tersebut.” Ismail menceritakan pengalaman yang begitu menakutkannya.

“Saya pun tidak berhenti-henti membaca Ayat Kursi semasa memulakan perjalanan. Sama seperti Ismail, saya juga tidak sanggup memandang ke arah lembaga itu. Tapi apa yang pasti lembaga itu hanya berdiri di tempatnya. Namun, sewaktu melintasi lembaga tersebut, saya dapat mencium bau yang amat busuk, sangat meloyakan. Saya hampir nak terkeluar isi perut sewaktu mendekati lembaga tersebut. Apa yang lebih mendebarkan ialah, lembaga tersebut juga mengeluarkan bunyi seperti orang mendengus, mungkin lembaga itu sedang marah. Mungkin ia marahkan kami kerana kami membaca Ayat-Ayat suci Al-Quran dan tidak dapat mengapa-apakan kami berdua,” sahut Zizan pula.

“Sebaik saja kami melepasi lembaga itu, terus saja saya memecut lari ke khemah tanpa menoleh kebelakang lagi. Masa itu saya rasa saya lari laju teramat sangat kerana terlampau takut. Saya dah tak fikirkan pasal benda lain dah, yang penting saya mahu sampai ke khemah,” kata Ismail lagi.

“Saya ada juga menoleh ke belakang, saja untuk memastikan mana la tau kot-kot lembaga itu mengejar kami pula. Bila saja saya menoleh ke belakang, tekaan saya tepat. Saya melihat lembaga itu cuba untuk mengejar kami, tapi saya diamkan saja dan tidak memberitahu Ismail kerana takut ia gelabah pula. Tapi selepas kami hampir dengan jalan raya, barulah lembaga tersebut tidak lagi kelihatan lagi di belakang kami. Tapi kami tidak berhenti berlari sehinggalah sampai ke khemah.” Zizan menambah.

“Semasa kami tiba di khemah, kawan-kawan kami yang lain sedang bersantai di tepi ungun api. Mereka terkejut dengan kemunculan kami yang tercungap-cungap. Mereka bertanya kepada kami apa yang telah berlaku, tapi kami mendiamkan diri sahaja. Muka masing dah pucat, nafas pun termengah-mengah. Macam mana nak cerita,” sambungnya lagi.

“Kemudian salah seorang kawan kami bertanyakan tentang air yang sepatutnya kami ambil. Baru saya sedar, saya telah tertinggal bekas air semasa bertembung dengan makhluk aneh tersebut. Kawan-kawan kami terus bertanya kenapa muka kami pucat sekembalinya kami dari mengambil air. Pada mulanya saya malas nak menceritakan apa yang telah kami alami, tetapi apabila Zizan memulakan cerita, saya pun turut menerangkan apa yang terjadi ke atas kami,” sahut Ismail dengan nada yang serius.

Selepas peristiwa bertembung dengan lembaga tersebut, Ismail menyatakan yang dia menjadi agak pendiam, kerana dia masih terbayangkan wajah lembaga tadi. Muka lembaga itu yang kelihatan seperti orang mati lemas masih menghantuinya, hinggakan kerancakkan kawan-kawannya bercerita langsung tidak menarik perhatiannya.

“Tak ada pula kawan-kawan kami yang berani pergi mengambil bekas air yang tertinggal. Semua kawan-kawan masih terkejut dengan apa yang telah tejadi kepada kami. Langsung tak ada sesiapa yang ketawa atau mempersendakan apa yang kami ceritakan,” jelas Ismail.

Semenjak kejadian itu, jelas telah mempengaruhi Ismail, dia sejak itu sering merasa takut untuk pulang lewat malam ke rumahnya. “Biasanya kalau kita dah pernah lemah semangat, senang makhluk-makhluk halus ini nak menguji kita. Itu yang saya tidak berapa gemar sangat.” Zizan juga menyatakan dia masih lagi dihantui wajah makhluk itu, dan masih lagi dapat mengingati wajah makhluk itu. “Saya tidak mahu hidup saya sentiasa dalam keadaan ketakutan. Lagipun saya sudah beristeri, saya kena meneguhkan semangat untuk membimbing isteri saya. Kalau saya pun masih hidup dalam ketakutan macam mana saya nak membimbing isteri saya,” kata Zizan lagi.

“Kami sekarang pun tak pergi berkhemah lagi. Semua sibuk dan jarang berjumpa, kalau jumpa pun sekali sekala pada malam minggu di kedai makan,” tambahnya lagi. Bagi mereka bedua inilah pengalaman mengerikan yang pernah ditempuhi hingga ke hari ini. Mereka berdua tidak mahu sama sekali untuk mengalami peristiwa seperti itu. Tetapi sekiranya sudah ditakdirkan untuk bertemu, itu tidak dapat dielakkan lagi. Tapi seboleh-bolehnya mereka tidak mahu untuk mengalami peristiwa seperti itu lagi. “Kami harap dapat melupakan pengalaman menyeramkan itu dari fikiran kami,” ujar mereka bedua lagi.

SYAITAN HAPUSKAN PENCURI

Nabi Sulaiman a.s bin Daud memang terkenal sebagai seorang nabi yang mempunyai keistimewaan dapat berbicara dengan haiwan. Kerana itu, sewaktu zaman pemerintahan baginda, Nabi Sulaiman tidak hanya di datangi oleh manusia tetapi juga haiwan-haiwan yang datang mengadapnya kerana meminta bantuan.

Suatu hari, datang seekor burung helang mengadap Nabi Sulaiman. Berkatalah helang itu kepada baginda: “Wahai Nabi Allah, ada seorang lelaki yang memiliki sebatang pohon yang rendang. Aku telah mengerami telurku di atas pohon tersebut. Tetapi setelah anak-anakku menetas, lelaki itu datang lalu mengambil anak-anakku dan membawanya pergi.”

Nabi Sulaiman kemudiannya memanggil lelaki yang dikatakan pemilik pohon tersebut. Baginda kemudian memberi ingatan dan melarang lelaki itu daripada melakukan perbuatan tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Nabi Sulaiman turut memanggil 2 syaitan datang mengadapnya. Berkatalah Nabi Sulaiman kepada syaitan-syaitan itu: “Aku memerintahkan engkau berdua, jika pada tahun akan datang, lelaki ini masih lagi mengambil anak burung helang ini. Maka tangkaplah lelaki ini dan belahlah dia menjadi 2 bahagian. Lalu lemparkan satu bahagian ke timur dan satu bahagian lagi ke barat.”

Masa pun berlalu. Setelah setahun peristiwa itu berlaku, lelaki itu lupa akan pesan dan larangan Nabi Sulaiman. Dia kemudian datang semula ke pohon tersebut. Namun sebelum mula memanjat pohon itu, lalu seorang fakir miskin di hadapannya. Kerana kasihan dengan rintihan si miskin itu yang sudah beberapa hari tidak makan, lelaki itu lantas bersedekah dengan memberi sepotong roti kepunyaannya untuk dimakan oleh fakir miskin tersebut. Setelah itu, barulah lelaki itu memanjat pohon kepunyaannya. Sampai di atas pohon, lelaki itu mengambil anak burung helang lalu dibawanya pulang ke rumah.

Sekali lagi, si burung helang itu datang mengadap Nabi Sulaiman lalu melaporkan perbuatan lelaki itu yang telah ingkar akan arahan baginda. Nabi Sulaiman kemudian memanggil dua syaitan yang telah ditugaskan dahulu dengan maksud untuk menghukum kedua-duanya kerana gagal menjalankan perintahnya.

Setelah kedua syaitan itu datang mengadap, Nabi Sulaiman pun bertanya: “mengapa kamu berdua tidak melaksanakan tugas yang telah aku perintahkan dulu?” Kedua syaitan itu pun menjawab: “wahai Khalifah Allah, sesungguhnya kami sentiasa bersedia untuk menjalankan perintahmu. Sewaktu lelaki itu hendak memanjat pohon untuk mengambil anak burung helang, kami sudah bersedia untuk menangkapnya. Tetapi lelaki itu telah bersedekah kepada seorang fakir miskin dengan sepotong roti. Maka Allah telah mengutuskan dua malaikat dari langit yang telah menangkap kami berdua dan melemparkan kami. Seorang dilemparkan ke timur dan seorang lagi dilemparkan ke barat. Kerana kami telah dihalang sedemikian rupa, maka gagallah usaha kami untuk mencelakakan lelaki itu disebabkan sedekahnya.”

SYAITAN DIKURUNG DALAM BALANG

Mengenai syaitan yang berbuat salah dan dipenjarakan dalam balang dan dicampakkan ke dalam laut atau ditinggalkan di atas muka bumi. Penjara yang dimaksudkan adalah sebuah balang yang tertutup rapat dan dimeterai dengan cap mohor kerajaan Nabi Sulaiman a,s. Adapun isinya adalah syaitan-syaitan yang sedang menjalani hukuman dari Nabi Sulaiman akibat berbuat kerosakkan di muka bumi. Untuk lebih jelas mengenainya, di sini dicatatkan dua kisah berkenaan perkara ini.

Pada satu ketika, Musa b. Nashir dikirim sebagai panglima perang ke Daerah Ujung Barat oleh khalifah yang berkuasa ketika itu. Kemudian dalam perjalanannya, tibalah beliau ke suatu pulau yang terpencil di tengah lautan. Di pulau tersebut terdapat sebuah rumah yang di dalamnya terdapat tujuh belas balang besar tertutup dan bermeterai serta dicap dengan mohor kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Beliau lalu memerintahkan anak buahnya supaya membawa empat buah balang tersebut ke hadapannya, dengan maksud untuk diperiksa apa gerangan isinya. Maka salah satu balang itu dibuka tutupnya. Apabila terbuka saja, maka syaitan yang terkurung itu menyatakan taubat terhadap Nabi Sulaiman yang telah menghukumnya.

“ Demi zat yang memuliakan Nabi Sulaiman dengan darjat kenabian. Aku yang pernah berbuat kerosakan di muka bumi ini, tidak akan mengulangi perbuatan itu selamanya.” Kata syaitan itu di hadapan Musa b. Nashir. Setelah syaitan yang dilaknat itu keluar dari balang itu dan mengetahui bahawa Nabi Sulaiman, kerajaan dan istananya sudah tiada lagi. Maka dengan gembira dia berjalan meninggalkan tempat itu.

Adapun balang lain yang belum sempat dibuka oleh Musa b. Nashir diperintahkan supaya dikembalikan ke tempatnya semula.

Kisah lain, masih lagi berkenaan dengan Musa b. Nashir. Ada seorang yahudi yang kemudiannya telah masuk islam. Pada zaman Mu’awiyah dan sebagai panglima perang, Musa b. Nashir dikirim ke Penjuru barat sampai ke Andalusia untuk menegakkan dakwah islam. Ketika menjadi panglima perang itulah dia banyak melihat perkara-perkara aneh terjadi di lautan.

Pada suatu waktu menurut kisahnya, lautan gelap kerana tiada cahaya bulan pada ketika itu. Namun begitu, kapal yang dinaiki tetap meneruskan pelayarannya. Tiba-tiba terdengar seperti ada suatu benda yang melanggar kapalnya. Perkara itu telah berlaku berulang-ulang kali hingga menimbulkan perasaan bimbang terhadap mereka yang berada di atas kapal. Mereka bimbang kapal itu pecah atau bocor. Musa b. Nashir mengarahkan anak kapalnya memeriksa perkara tersebut. Kemudian, mereka mendapati ada beberapa biji balang bewarna hijau terapung dipermukaan air.

Lalu mereka mengambil salah satu balang itu dan membawa naik ke atas kapal. Dipenutup mulut balang itu, terdapat cap mohor yang dimeterai dengan cap yang tidak jelas lagi tulisannya. Musa b. Nashir menyuruh membuka balang itu untuk melihat apa isinya di bahagian bawah. Sejurus saja terbuka balang itu, maka kedengaran suara jeritan.

“Ya Nabiyullah, aku tidak akan mengulangi lagi,” kata syaitan yang terkurung itu. “ Hai yang berada di dalam balang, adakah kamu syaitan yang telah dipenjarakan oleh Nabi Sulaiman a,s?” Tanya Musa b. Nashir. “ Ya, aku syaitan yang dipenjarakan oleh Nabi Sulaiman kerana perbuatan jahatku,” jawab syaitan itu.

Begitulah kisah penemuan dua balang dimana syaitan-syaitan telah dipenjarakan oleh Nabi Sulaiman a.s. dari kisah di atas kita boleh membuat kesimpulan mungkin ada lagi balang-balang penjara syaitan yang belum lagi ditemui di atas muka bumi ini.

Sabtu, 25 Julai 2009

PUAKA KUCING HITAM

Helaian 2

Tapi kuburan ini, sudahlah jauh dari manusia dan keramaian, rumahnya pula usang menggerunkan. Jauh sekali untuk menumpang menginap, entah apa makhluk yang bersarang di dalamnya.
Matahari telah condong ke arah barat, dari tempat aku berdiri di halaman belakang rumah, jelas kelihatan sang suria telah mula terlindung di sebalik bukit kecil yang teguh membenteng. Aku masih lagi duduk di tembok belakang, rasa bosan, kesal dan ingin pulang silih berganti datang menerjah. Kalau tidak memikirkan perasaan kawan mahu saja aku bergegas pulang. Tapi demi persahabatan ku masih cuba bersabar. Ku lihat tidak ada pun sebarang keanehan atau keganjilan yang terdapat di situ. Aku rasa kami dah buang masa datang ke situ.
Hanya sebuah rumah kuno dan kubur seorang perempuan yang bernama Kasmah. “Selesai tugas kau?” aku bertanya ketika Jalil datang menghampiriku. ‘Kalau dah selesai, aku rasa lebih baik kita pulang saja” sambungku dengan nada mendongkol.
Tapi kawanku yang satu ini memang aneh, aku lihat fikirannya melayang ke tempat lain. “Agaknya menjelang senja dia akan muncul, aku percaya dia akan menjelma”, jawab Jalil acuh tak acuh. “Siapa yang kau tunggu ni.” Tanya aku dengan sedikit meninggikan suara. Rasa tidak puas hati semakin membara, lain yang aku tanya lain yang dia jawab. Jalil memandang muka aku, aku kira dia akan berkecil hati kerana partanyaan aku tadi sedikit kasar. Tapi dengan selamba dia senyum sambil berkata, “Benda tu bukannya senang nak muncul, pokok pangkalnya mesti sabar.
“Susah aku nak faham kau ni Jalil, kau tengok sekarang dah petang sangat sekejap lagi malam. Kau fikir tak mana kita nak tidur malam ini? Apa kau nak bermalam di rumah usang ini ka?” Tapi berselindung aku terus bertalu-talu menghamburkan pertanyaan. “Kalau perlu mungkin”. “Kalau begitu aku rasa kita bukannya nak cari bahan cerita, tapi nak cari nahas. Kau tengok tempat ni, banyak bahayanya ular, lipan, kalajengking, lumat kita Jalil kalau tidur kat sini.” Aku terus mempersoalkan rancangan Jalil.
“Lagi pun apa yang menariknya tempat ini.” Tanya aku sambil melihat Jalil memandang sekeliling kawasan rumah itu.
“Ada sesuatu yang mesti aku tunggu, dan kalau benda itu menjelma inilah yang akan jadi bahan cerita kita nanti. Sesuatu yang ada kaitannya dengan kubur tua itu..” Sahut Jalil sambil memuncungkan mulutnya ke arah kubur tua itu.
“Apa yang penting sangat tu”
“ Bertenang, aku harap kunjungan kita ini akan berhasil.” Tutur Jalil dengan yakinnya.
“Macammana aku boleh tenang?”
“ Kucing Hitam!!”
“Mana dia?”
“Kita sedang menunggunya”
“Oh! Gila betul. Menyesal aku ikut kau datang ke sini.”
“Sabar”
Dari duduk aku terus bangun, aku mundar-mandir di hadapan Jalil. Otakku ligat berfikir mencari ketenangan. Aku cuba bersikap matang demi seorang kawan. “Baik, sekarang kau ceritakan kepada aku dengan jelas, untuk apa perlunya kita tunggu kucing hitam itu. Apa kucing itu akan datang dan kemudian menceritakan kepada kita sesuatu yang boleh kita tuliskah?” Cetusku sambil mengerutkan kening.
“Begini, sekarang aku nak kau duduk dulu dengar apa yang nak aku cakapkan ini. Begini, kita akan tunggu kucing hitam untuk disembelih.” Jawab Jalil dengan begitu mengejutkan aku.
“Siapa yang nak sembelih, kita ke?” tanya ku lagi
“Bukan, bukan,”
“lalu siapa? Aku tak mahu cari nahas, lebih baik aku balik sekarang juga”
lalu untuk kedua kalinya aku bingkas bangun dan terus menuju kereta kami yang diletakkan di depan rumah. Dengan pantas juga Jalil mengekori dari belakang aku, lalu terus memaut bahuku. Jalil meminta aku agar bersabar sebab tugas kami baru bermula. Cuma kali ini dia lebih berhati-hati menuturkan perkara itu kepada aku. Jalil hendak aku faham dengan rancangannya nanti. Jalil juga secara bersungguh-sungguh memberitahu aku bahawa dia telah mengaturkan satu pertemuan dengan seseorang selepas isyak nanti. Jadi mahu tidak mahu kami perlu menanti orang yang akan datang menemui kami nanti.
Setelah berfikir sejenak, aku bersetuju untuk menunggu orang tersebut, itu pun setelah Jalil menyatakan bahawa jika selepas kami bertemu orang tersebut aku boleh membuat keputusan samada hendak turut serta atau tidak.
“Rancangan yang adil, ok! Aku terima.” Janjiku. Dan ternyata janjiku itu memberi kepuasan kepada Jalil. Buktinya senyumnya semakin melebar selepas itu.
Menurut Jalil lagi, orang yang dimaksudkan itu semasa mudanya pernah berkhidmat di rumah usang ini sebagai pembantu. Dan sekarang walaupun sudah tua, dia tentunya banyak mengetahui hal ehwal berkenaan dengan kehidupan misteri rumah usang ini. Apa yang lebih mengejutkan lagi, Jalil turut mengusulkan untuk kami bermalam di rumah usang ini. Alasannya adalah untuk menunggu kucing hitam yang dimaksudkan itu muncul. Ini kerana menurut penerangan Jalil lagi, dari maklumat yang diperolehinya kucing itu akan muncul selepas lewat tengah malam nanti. Kucing hitam itu diharap akan merungkai sedikit sebanyak misteri rumah usang tersebut. Begitulah penerangan yang diberikan kepada aku. Jadi tanpa banyak pilihan aku terpaksa menunggu kedatangan kucing hitam dan orang tua itu.

Selasa, 21 Julai 2009

GASING TENGKORAK

Helaian-2

Setelah perbincangan ringkas dilakukan, Kamil yang ada pertalian keluarga dengan Pak Bulat ditugaskan untuk pergi menjemput bidan tua itu. Tanpa berpeluang untuk mengelak, Kamil pun mahu tak mahu terpaksa pergi ke rumah bidan tua itu yang agak terpencil dan menyeramkan. Sudah hamoir satu jam lamanya si Kamil pergi, dengan menyusuri sungai yang deras arusnya. Mengayuh sampan seorang diri di antara pokok-pokok nipah, dan akhirnya sampai ke rumah nenek Samah. Dari tangkahan di tepi sungai, Kamil tidak melihat sesuatu tanda bahawa kawasan itu di huni oleh sebarang makhluk. Hutan belukar, semak samun daun lalang liar, agak menyeramkan. Ada beberapa pancang seolah tempat orang menambat sampan, dan ada tangga yang sudah lapuk diperbuat dari buluh yang diikat rotan. Kamil menambat sampannya. Lalu naik ke darat, berjalan di lorong kecil, kiri dan kanannya dipenuhi oleh semak samun. Tak kelihatan bentuk rumah di sekitar kawasan itu, kami mula menggosok lengannya yang mula meremang. Tapi menurut Pak Bulat, di kawasan itulah letaknya rumah Nenek Samah, bidan yang masyhur itu. Kedengaran suara bersiul kecil. Dari kejauhan, seperti desiran angin ribut yang mendesing. Kamil terpegun seketika mendengar suara ganjil itu, kemudian diam lagi. Perjalanan yang terhenti disambung semula, kakinya meredah terus semak samun yang tak tersusun itu. Kelihatan dikiri kanan ada pokok-pokok senduduk yang bergoyang – goyang, seperti ada sesuatu yang bergerak di situ, “Ahh! Apa lagi ni”? Fikir Kamil. Hidungnya kembang kempis, kerana tercium bau kemenyan bercampur bau kapur barus yang amat kuat.
Senja telah jatuh di kaki langit, cahaya kemerahan hanya ada dibeberapa bahagian langit di ufuk barat. Suasana di dalam hutan demikian tambah bertambah gelap sedangkan kalau di luar keadaan pasti tak begitu. Kamil mempercepatkan langkahnya, pantas sekali melalui lorong kecil yang merentang. Sementara bunyi siulan di kiri kanannya tetap juga terdengar, seolah-olah sedang mengekorinya. Entah apa gerangan makhluknya. Sesekali tercium juga bau daun pandan yang sudah dibuat bunga rampai, dada Kamil berdebar semakin kencang. “Entah-entah muncul di depan aku, atau barangkali di belakang”. Kamil mengomel sendirian. Dan akhirnya Kamil sampai di depan sebuah rumah. Lebih tepat kalau dipanggil sebuah gobok buruk yang beratap dan berdindingkan daun bertam yang sudah usang, diapit dengan buluh kasap kecil. Di sana sini dinding gubuk itu kelihatan terdedah koyaknya. Pondok tua yang usang. Angin bertiup agak kuat, menerbangkan daun-daun kering, rang-ranting yang bersentuhan sesekali menghasilkan bunyi seakan-akan suara perenpuan merintih. Rumah terpencil ini begitu mencabar keyakinan seorang lelaki. Di sekitar halaman rumah, tidak kelihatan pun sebarang pokok yang di tanam. Lazimnya jika sebuah rumah berpenghuni pasti pokok serai atau pandan akan ditanam untuk kegunaan seharian. Tapi rumah ini berlainan sekali, tanahnya tandus namun jelas bewarna kehijauan dalam samar-samar senja itu. seolah-olah tidak dihuni manusia. Kamil cuba juga memberi salam, “Assalammu’alaikum”, berkali-kali suara kamil lantang memberi salam, tapi tak bersahut. Kamil terfikir, agaknya nenek itu sedang bersembahyang. Lalu ia memutuskan untuk tidak mengganggu. Kamil bergerak mendekati sebatang pokok jambu yang condong, hajatnya untuk duduk dan menunggu nenek itu. Siang semakin beransur pergi, malam pula semakin tiba, kegelapan yang seringkali menakutkan. Apalagi jika bersendirian di tempat sebegini. Antara berdebar-debar dan tertanya-tanya, Kamil hairan kerana tidak ada tanda-tanda nenek samah ada di rumah. Kelihatan di langit helang mula terbang untuk pulang ke sarang, pandangan Kamil semakin berbalam-balam, samar-samar. Kalaulah bukan kerana terdesak, upahlah berapa pun, Tak mungkin Kamil sanggup menunggu bersendirian di tempat yang misteri seperti ini. Dan seketika, telinga Kamil mengesan bunyi yang di dengarnya tadi, bunyi mendesing seolah-olah siulan. Kemudian disusuli dengan bauan daun pandan lebih kuat berbanding tadi. Kedengaran bunyi ranting patah di belakangnya, seperti ada sepasang kaki yang memijaknya. Kamil semakin tidak keruan, ia menyumpah seorang diri kerana tidak membawa lampu suluh, “biarku mudah menyuluh, taklah teraba-raba seperti sekarang ini. Bau haruman pandan seperti buang rampai itu semakin menusuk, kata orang jika tercium bau bunga rampai di remang-remang senja, bermaksud ada pontianak berhampiran kita. “ Hai Kamil dah lama menanti” melayang semangat Kamil, hampir saja dia terkencing kerana terkejut mendengar suara menegurnya. Lebih menghairankan lagi suara itu memanggil namanya. Nenek Samah tercegat berdiri disampingnya, entah bila dia mendekati Kamil. Orang tua itu hanya tersengih dengan senyumannya menampakkan dua batang giginya yang masih bersisa. Senyum ramah atau senyum misteri. “Nek Samah”! suara Kamil tersekat di situ. “Apa hal ni?” Tanya bidan tua itu. “Mintak tolong nek, Wadina anak Pak Bulat sakit nak melahirkan anak. Dah 2ua minggu terkoteng-koteng, belum juga lahir bayinya.” Tingkah Kamil menjelaskan maksud kedatangannya. “Jadi” Tingkah Nenek Samah sambil melirik tajam ke arah Kamil. “Mintak nek datang ke rumah.” Jelas Kamil dalam nada mengharap. “ Baliklah dulu,” “Nenek?’ “Nenek datang sendiri nanti, aku tahu kat mana rumah Bulat.” “Tapi dengan apa? Kan elok kalau pergi sama dengan saya, nanti terlambat. Lagi pun....” “ Tak payahlah,.. nenek faham. Baliklah dulu.” Pintas Nenek Samah. Setelah pasti dengan pendirian Nenek Samah, Kamil pun meminta diri. Beredar dalam kesamaran senja yang makin pekat, meninggalkan orang tua itu sendirian. Tanpa dipelawa naik ke rumah dan tanpa diketahui oleh kamil keadaan nenek Samah yang sebenarnya. Dalam fikirannya semasa berkayuh menyusuri sungai, Kamil pelik dengan gelagat Nenek Samah. Kehadirannya yang tiba-tiba, enggan balik sekali dengan Kamil. “Dengan apa orang tua itu hendak pergi ke rumah Pak Bulat, tak kelihatan pun sebarang sampan pun tadi. Tentu Pak Bulat marah nanti, kerana Nenek Samah tak datang bersama-sama dia.. Ahh.. dia kan banyak pengalaman, pandai-pandai dialah untuk pergi ke rumah Pak Bulat.”. Kamil berperang dengan fikirannya sendiri sewaktu sedang berkayuh sampan. Kamil tiba di rumah dengan hati yang sedikit kesal dan gusar. Kelihatan agak ramai orang yang datang melawat Wadina. Lampu gasolin juga telah dipasang, memancarkan cahayanya sehingga singgah disebahagian halaman rumah. Kamil melencong dari tangga rumah, tak ingin dia naik, apa yang nak di jawabnya nanti. Nyawa Wadina yang agak membimbangkan, nyawa-nyawa ikan`

PUAKA KUCING HITAM

Helaian 1

Kuburan itu berhampiran dengan rumah besar yang terletak di hujung kampung. Betul-betul di kaki bukit, yang nampak seolah benteng pemagarnya.
Rumah besar kuno, dengan bentuk yang antik dan berukir-ukir buatan tangan seorang ahli ukir yang mahir pada zamannya. Di perkarangan belakang rumah besar itu, tumbuh sebatang pokok beringin yang besar dan rendang. Juga tempat menumpang pohon dedalu, yang hidup bermaharajalela, hampir-hampir sama dengan rendangnya pokok beringin itu.
Bentuk rumah kuno yang antik, dengan peralatan perabotnya juga terdiri dari barang-barang kuno dan antik. Kerusi meja, almari dan rak serta kusyen tamu, juga cermin besar di dinding.
Ada sekeping foto besar, foto seorang wanita yang wajahnya mirip dengan wajah Mona Lisa, sorotan matanya teguh dengan kelembutan seorang wanita, tapi tajam dengan maksud mendalam..
Tak seorang pun yang tahu, siapakah yang menjadi model di dalam foto usang itu. Melihat pada bingkai foto lukisan itu, umurnya tak kurang dari puluhan tahun. Ini jelas terlihat pada bahagian kayu jati yang berukir itu, sudah kelihatan dimakan bubuk. Pada canvas kertas lukisan foto wanita itu, dibahagian sudutnya sudah ada lubang-lubang tanda terhakis oleh air.
Ada keanehan pada wajah wanita dalam lukisan itu. Matanya yang lembut itu, seolah-olah menyimpan suatu misteri. walaupun lembut, namun cukup mempersonakan, seperti ia ingin memberitahu tentang suatu rahsia dalam hidupnya. Mata dalam lukisan itu seakan-akan hidup memandang ke mana sahaja kita berada, memandang sayu seolah ingin ikut bersama, atau hanya cuba mengekori untuk suatu pembalasan yang menyeramkan.
Di ruang dalam rumah kelihatan beberapa bilik, bilik tidur, bilik perpustakaan dan juga bilik stor. Manakala di bahagian dapurnya, dilengkapi dengan peralatan masak-memasak, di satu sudut terserlah kemewahannya rak-rak dan almari tempat pinggan mangkuk kuno buatan Cina dan Perancis yang diperbuat dari bahan porslen halus. Dengan motif bunga dan gambar naga berjuang.
Tiga bilik besar itu tidak pernah dibuka. Dari pintu belakang pula, kita dengan jelas dapat melihat sebuah bukit tersergam suram tidak diterangi oleh sinar matahari sepenuhnya. Dan sebatang jalan kecil yang menghubungkan rumah bahagian belakang dengan halaman hadapan yang luas.
Perasaan ganjil turut timbul bila berada di tempat seperti itu, macam kita berada disuasana zaman silam.
Sunyi sepi.
Tak ada manusia yang berani melalui kawasan itu. Dan rumah tua yang aneh itu, tetap utuh. Walaupun ada bahagian-bahagian yang sudah reput, cat yang dimamah usia, suram. Malah ada di bahagian-bahagian tertentu yang ditumbuhi kulat.
“Apa yang boleh kita dapat disini Lil?” aku bertanya kepada Jalil yang beria-ia membawa aku ke situ. “Nampaknya di sini tak ada bahan yang boleh dijadikan bahan cerita, yang ada hanya rumah tua tak ada penghuni ni saja, reput sana sini semak-samun. Silap-silap haribulan kita dipatuk ular tedung.” Kata ku dengan agak kesal, sebab dah bosan meninjau tapi tak nampak apa-apa yang boleh dijadikan bahan atau idea cerita.
Tempat itu memang membosankan, hendak memijak terpaksa berhati-hati, nyamuk usah cerita dah kenyang dengan darah kami agaknya. Aku memandang Jalil, tak faham aku apa matlamatnya Jalil membawa aku ke sini. Jalil macam tak terkesan dengan rungutan aku tadi, dia hanya sibuk dengan kemeranya. Kalau boleh semua sudut rumah dia nak ambil gambar, sebagai protes aku cuma mendiamkan diri, kalau boleh aku nak dia cepat-cepat ambil gambar kemudian kami boleh terus pergi dari sini. Aku dan tak larat menampar nyamuk, nyamuk tak mati pipiku yang merah.
Akhirnya ia mengisyaratkan telunjuknya, meminta aku supaya mengikutnya. Aku yang dah lama jemu menunggu terus bangun mengekori Jalil, kami bergerak hingga sampai di sebuah kuburan di belakang rumah itu. Sebuah kuburan tua, di dibina dengan batu marmar yang sudah runtuh sebahagiannya. Tidak ada sebatang pokok pun dikubur itu. Pada pendapat aku kubur ini adalah sebuah kubur lama yang terbiar tanpa dijaga. Kelihatan seperti ada tulisan yang tertulis sesuatu dengan huruf bercetak di dinding batu nisan yang dari batu pualam cina.
Tak jelas apa yang tertulis di batu nisan itu, diseleputi habuk dan debu. Dengan lancar Jalil mengesat debu itu hingga timbul tulisan. Tapi tulisan nama agak kabur, cuma tahunnya saja yang kelihatan. Di batu nisan itu tertulis bahawa kubur ini milik seseorang yang telah mati pada tahun 1885, dari tulisan nama pula aku mengagak bahawa kubur ini milik seorang perempuan. Ini kerana dari ejaan jawi lama yang bersisa di nisan itu seakan-akan mencatat nama Kasmah.
Tapi aku masih tidak berpuas hati lagi, untuk apa Jalil membawa aku ke sini, kalau sekadar untuk menunjukkan kubur tua ini kepada aku, banyak lagi kubur-kubur bersejarah yang boleh dilawati.

Jumaat, 17 Julai 2009

GASING TENGKORAK


Helaian-1

Sudah seminggu Wadina, terbujur diperbaringan dengan wajah yang pucat dan tubuh kurus. Nafasnya tersekat-sekat serta matanya terbeliak ke atas, seolah-olah ia sedang melihat sesuatu yang menggerikan.
Mak Bidan Timah, sudah bertungkus-lumus menolongnya, siang malam namun bayi dalam kandungan Wadina belum juga lahir. Beberapa bomoh telah dipanggil, minta pertolongan. Manalah tahu, kelahiran anak sulung itu entah diganggu sesuatu yang ghaib atau jembalang dan syaitan.
Doktor juga tidak sanggup membantu, kerana menurutnya, kedudukan anak yang menyonsang itu harus dibedah untuk mengeluarkan bayinya. Atas permintaan ayah ibunya. Wadina tidak dibenarkan dibedah. Itulah sebabnya seminggu lalu ia dibawa pulang ke rumah.
Keluarga Wadina yang sangat terpengaruh dengan kepercayaan tahyul yang tebal, memutuskan anak sulung yang akan lahir perlu disambut du rumah, dengan segala upacara keduri dan doa.
Manan, suami Wadina yang sudah dua bulan tidak pulang-pulang. Inilah yang membuatkan keluatga malang itu tidak berani membuat keputusan. Segalanya harus meminta kebenaran dari Manan. Mereka sedia maklum, Manan juga memang sayangkan isterinya apalagi anaknya yang bakal lahir.
Tubuh yang kurus lemah itu, sudah tidak tahan lagi menahan kesakitan. Kandungannya yang menurut hitungan sudah mencapai bilangan sebelas bulan, memasuki dua belas, kata orang-orang tua di kampung Wadina ‘mengandung gajah’.
Ia seperti tidak sedarkan diri, menurut kata bomoh selain Wadina tersampuk syaitan, bayi di dalam kandungan itu juga mempunyai beberapa keganjilan kalau lahir kelak.
Semua yang hadir memandang hiba ke tubuh yang terlantar di atas tilam diruangan tengah rumah itu. Tubuh kurus kering, lemah tidak bermaya. Matanya liar sesekali memandang ke atas, inilah yang membuatkan hati ibu dan bapa Wadina bertambah bimbang dan cemas. Menurut mereka, Wadina memandang ke atas kerana ada sesuatu di sana.
Apakah benar?
‘Kalau begini mak menyerah. Mak tak sanggup untuk membidaninya...” kata Mak Timah bidan beranak di kampung itu.
Sementara keadaan Wadina semakin tenang, tubuhnya hampir tak dapat bergerak lagi. Wajahnya semakin pucat. Berbagai cara telah diusahakan, namun si bayi dalam kandungan belum juga hadir ke dunia.
Tiba-tiba,
“Kenapa bingung? Bukankah masih ada bidan Samah di hulu sungai ini?” Kata Bidul mengigatkan pada keluarga yang kebingungan itu. Memang benar, pada saat yang genting serupa itu, mereka semuanya terlupa dengan seorang tua yang tinggal di hujung kampung, di hulu sungai. Mak Samah yang sudah melewati lapan puluh tahun. Kaya dengan pengalaman dalam membidani orang bersalin. Bidan yang dikatakan banyak keghaiban, dan misteri itu penuh dengan ilmu-ilmu dunia. Seorang bidan tua yang handal dalam ilmu-ilmu dunia.
Siapa yang dibidaninya, belum pernah lagi mengalami kemalangan. Dikatakan hampir sebahagian dari kalangan mereka di kampung itu telah dibidaninya. Tetapi orang tua yang aneh itu, memang sulit untuk dimengerti. Selain perangainya yang ganjil, ia juga seolah menyimpan sesuatu misteri dalam kehidupannya.
Pada saat tertentu ia menghilangkan diri entah ke mana, dan tiba-tiba muncul tanpa disangka-sangka.