Sabtu, 24 Oktober 2009

RASUK

Syawal baru saja berlalu meninggalkan kita, pastinya banyak pengalaman suka duka yang dikutip sepanjang syawal yang lalu. Syawal yang tidak kurang hebatnya walaupun kemelesetan ekonomi sedikit sebanyak seolah-olah menyekat kegembiraan berhari raya. Begitu juga wabak H Satu N Satu (H1N1) terus mengekori setiap seorang daripada kita, menghantui dan turut sama beraya dengan sesiapa sahaja tanpa mengira darjat, keturunan dan martabat kekayaan. Keadaan sekitar pada masa kini tidak menentu, tekanan hidup semakin bertambah, keperluan meningkat, cabaran lama belum lagi diatasi manakala rintangan baru pula perlu dihadapi. Nampaknya dunia sekarang menuntut kecekalan dan ketahanan yang tinggi. Pandai-pandailah kita mencari sesuatu untuk melegakan fikiran. Selain beribadat dan membaca Al-Quran yang merupakan sebaik-baik penawar, cara lain juga boleh dirintis yang penting ianya tidak menyalahi agama dan undang-undang. Salah satunya bagi saya ialah melibatkan kegemaran dan hobi di masa senggang, menerokai alam misteri.

Sering kali kita dihidangkan dengan catatan pengalaman terutamanya pengalaman berdepan dengan perkara-perkara atau hal-hal misteri. Bermacam-macam jenis entiti yang dikatakan telah dilihat atau telah mengganggu umat manusia. Termasuklah kononnya satu bentuk entiti yang dipercayai menyerupai raja pop Micheal Jackson atau MJ yang heboh diperkatakan pada suatu ketika. Islam tidak menolak perkara yang berkaitan dengan kemunculan dan gangguan makhluk-makhluk halus ini. Memang tugas syaitan yang dapat menyerupai apa sahaja untuk mengganggu dan menyesatkan manusia. Syaitan akan mengwujudkan kegerunan dan ketakutan melampau dengan matlamat akhirnya supaya keturunan Adam akan terpesong aqidahnya. Ini kerana, yang sepatutnya ditakuti dan tempat memohon pertolongan ialah Allah s.w.t dan bukannya syaitan yang dilaknat. Berkenaan jelmaan MJ yang diheboh-hebohkan telah menjelma di kediamannya juga mungkin merupakan jelmaan syaitan, sebab dalam islam roh orang yang mati tidak mungkin dapat dan akan kembali semula untuk ditonton oleh manusia lain. Hal ehwal dunia seseorang itu sudah berlalu apabila rohnya dicabut dari jasad, dan kehidupan alam kubur pula yang menanti sebelum dibangkitkan semula sesudah kiamat. Apapun tentang perkara ini hanyalah dalam pengetahuan Allah s.w.t.

Kali ini aku tertarik untuk menceritakan satu pengalaman yang kebetulan telah terjadi ketika bulan puasa yang lalu. Pengalaman ini agak menarik kerana pertama ia terjadi di bulan puasa, kedua ia melibatkan gangguan makhluk halus. Ramai orang berpendapat tidak ada yang perlu dibimbangkan tentang gangguan makhlus halus pada bulan ramadan kerana semuanya terikat dan hanya berperang dengan nafsu sahaja. Tapi kenapa masih terdapat lagi gangguan dari makhlus halus sedangkan hakikatnya mereka semua ini telah diikat. Aku tidak peduli dengan pendapat para pakar sakit jiwa yang tentunya akan mengaitkan semua gangguan makhlus halus ini engan tekanan jiwa serta teori-teori psikologi mereka. Itu yang mereka belajar dan itulah pendedahan yang diterima oleh mereka selama ini. Pendapat kita berbeza berdasarkan latar belakang dan pendedahan serta pengalaman yang kita tempuhi. Bagi pakar-pakar ini semua perkara perlu melibatkan alasan dari segi sains dan logik.

Histeria, samada selepas ternampak makhluk halus atau dewasa ini dikenali dengan ‘entiti’ atau gangguan dari suara bisikkan pastinya ada alasan dari segi sains oleh pakar-pakar yang terlibat. Ini bukan soal tahyul atau dongeng. Adakah kewujudan syaitan dan jin yang menyerupai pelbagai jenis hantu itu tahyol. Kalau begitu, kenapa Rasulullah s.a.w sebelum baginda tidur, membaca tiga Qul dan dihembuskan ke tangan selepas itu diusapkan ke seluruh badan untuk mengelakkan tipu daya syaitan. Adakah itu tahyol? bukan niat untuk menolak sepenuhnya apa yang dicapai oleh sains dan teknologi, cuma kadang-kala agak ‘geram’ dengan pendapat yang dilontarkan oleh cerdik pandai sains ini. Lupakan mereka dalam islam sendiri tidak menolak tentang kewujudan iblis, syaitan dan jin. Rasulullah s.a.w sendiri memperakui tentang kewujudan syaitan ini (rujuk penulisan Alam Jin untuk mendapatkan lebih maklumat). Jadi pada pandangan aku, pakar-pakar ini terutamanya yang beragama islam perlulah lebih berhati-hati dengan komen sains mereka kerana salah cakap boleh terpesong akidah. Aku tidak mahu melanjutkan lagi perkara ini, mungkin pada ketika yang lain aku akan berhujah dengan lebih lanjut berkaitan perkara ini.

Berbalik dengan gangguan makhluk halus pada bulan ramadan, daripada Abu Hurairah katanya, “Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, apabila datang Ramadan, dibukalah segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Mengikut Dato’ Dr Harun Din. Hadis tersebut ada dua lapis maksudnya, dalam maksud kedua (kaitan dengan penulisan ini) mengikut beliau lagi, hadis ini ada menyebut tentang ‘dibelenggu syaitan’. Dalam erti kata lain, syaitan diikat. Maknanya dari segi hakikinya memang terjadi sungguh bahawa syaitan-syaitan itu dibelenggu dan dipenjarakan. Perkara ini terjadi hanya ke atas syaitan, dan tidak disebut apakah jin, qarin, iblis, ifrit dan lain-lain makhluk. Makhluk-makhluk ini tidak dirantai.

Pada bulan Ramadan yang baru saja berlalu, aku berpeluang terlibat secara langsung dalam satu kejadian rasukkan. Ini ada kaitannya dengan apa yang aku utarakan, kerana sebelum ini kita beranggapan tidak akan ada apa-apa gangguan syaitan, jin dan iblis kerana mereka ini telah dirantai. Kisah ini terjadi pada satu malam jumaat, kebetulan jiran sebelah rumah aku telah menawarkan khidmat untuk mengajar kanak-kanak membaca Muqqaddam dan Al-Quran. Jadi aku juga turut sama menghantar anak aku yang berumur 4 tahun menyertai kelas itu. Pada malam jumaat biasanya akan turut diadakan majlis membaca Yassin di rumahnya. Aku selepas solat sedang menonton siaran berita pukul 8.00 malam. Sebetulnya malam itu aku tidak ke masjid berterawih kerana demam selsema. Dalam pukul 8.30 sedang aku asyik menonton TV, tiba-tiba dikejutkan oleh panggilan seorang kanak-kanak yang turut sama mengaji di situ, dalam tergopoh-gapah dia memberitahu ada sesuatu yang terjadi kepada anak ustazah jiran ku itu. Lalu aku dan isteri pergi untuk melihat apa yang berlaku terhadap budak perempuan yang berumur 10 tahun itu.

Setibanya kami di sana, aku lihat budak itu dalam keadaan kejang seperti kena sawan, dengan mata putih sahaja di anak matanya. Kebetulan, ketika itu jiran-jiran lain masih belum tiba. Emaknya, jiranku itu sudah menggelabah melihat anaknya hanya yang terkejang dengan nafas turun naik dengan pantas. Tidak lama kemudian jiran-jiran sekitar mula datang ke situ, ada yang mencadangkan agar budak itu segera di bawa ke hospital, aku hanya mendiamkan diri dan terserah kepada ibunya. Tetapi pada pengamatan aku, budak itu bukannya sawan, tetapi ada gangguan yang merasuknya. Lalu dalam keadaan serba salah aku memberitahu ibunya tentang perkara tersebut. Bukanlah hendak menunjuk pandai atau menidakkan pendapat jiran-jiran yang lebih tua dari aku. Tapi menerusi sedikit pengalaman dan pengamatan yang tidak sehebat mana, aku tergerak untuk berfikiran sedemikian.

Mujurlah jiran-jiran di situ juga turut bersetuju dengan pandangan aku. Lalu mereka mencadangkan untuk memanggil seseorang yang arif dengan keadaan begitu, aku bersetuju dengan saranan itu. Sementara menunggu orang yang di hajati tiba, tanpa disangka isteriku mencuit aku supaya melakukan sesuatu buat sementara. Sekali lagi aku jadi segan, maklumlah, nanti apa kata orang di situ. Namun, selepas ibu budak itu turut juga sama meminta aku berbuat sesuatu disamping aku juga simpati dengan budak itu yang kelihatan seperti ikan terdampar di atas darat itu. Dengan sejemput pengetahuan yang aku miliki dan dengan izin Allah s.w.t aku cuba memulihkan budak itu. Hampir 20 minit juga aku berusaha dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, ternyata iblis atau jin yang bersarang dalam tubuh budak itu agak kuat juga melawan. Hinggakan sehari selepas kejadian itu aku sendiri menerima serangan syaitan tersebut. Ini bukanlah perkara aneh, kerana syaitan yang kepanasan setelah di bacakan ayat-ayat suci lazimnya akan bertindak sedemikian dan berdendam dengan sesiapa yang cuba menghalang pekerjaannya. Akhirnya dengan kuasa Allah s.w.t budak itu dapat dipulihkan, ibunya terus bertanya kepada aku tentang penyakit anaknya, aku cakap aku tidak tahu kerana aku bukanlah bomoh, aku hanya memohon kepada Allah yang Allah menerimanya. Aku mengesyorkan supaya dia bertanya hal berkenaan kepada bomoh yang akan tiba kelak. Hampir 10.30 malam barulah bomoh itu datang iaitu selepas habis solat tarawih. Dan bomoh itu melengkapkan proses perubatan ke atas budak itu melalui kaedahnya.

Mungkin bagi ahli psikologi akan berpendapat tekanan perasaan yang menjadi sebab utama gangguan-gangguan seperti ini berlaku. Seperti kata mereka tentang gangguan perasaan ke atas pelajar-pelajar di beberapa sekolah yang mengalami histeria baru-baru ini. Mungkin ada benarnya, tapi jika lebih daripada seorang yang mengalaminya setelah dikatakan melihat jelmaan seorang wanita tua pandangan ini agak meragukan. Selami dahulu tentang corak-corak serangan syaitan dan iblis, keadah dan cara jahat yang dilakukan oleh makhluk ini. Kita tidak perlu percaya kepada tahyol tetapi kita jika melibatkan usaha-usaha iblis dan syaitan itu bukan tahyol. Jangan prejudis tanpa mengkaji dengan teliti. Islam juga tidak menolak sains, bahkan teori ‘big bang’ iaitu berkenaan dengan penciptaan dan bagaimana bumi wujud juga telah dijelaskan oleh Al-Quran sebelum para saintis barat menemuinya. (priofdar@hotmail.com)