Isnin, 27 Julai 2009

SYAITAN HAPUSKAN PENCURI

Nabi Sulaiman a.s bin Daud memang terkenal sebagai seorang nabi yang mempunyai keistimewaan dapat berbicara dengan haiwan. Kerana itu, sewaktu zaman pemerintahan baginda, Nabi Sulaiman tidak hanya di datangi oleh manusia tetapi juga haiwan-haiwan yang datang mengadapnya kerana meminta bantuan.

Suatu hari, datang seekor burung helang mengadap Nabi Sulaiman. Berkatalah helang itu kepada baginda: “Wahai Nabi Allah, ada seorang lelaki yang memiliki sebatang pohon yang rendang. Aku telah mengerami telurku di atas pohon tersebut. Tetapi setelah anak-anakku menetas, lelaki itu datang lalu mengambil anak-anakku dan membawanya pergi.”

Nabi Sulaiman kemudiannya memanggil lelaki yang dikatakan pemilik pohon tersebut. Baginda kemudian memberi ingatan dan melarang lelaki itu daripada melakukan perbuatan tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Nabi Sulaiman turut memanggil 2 syaitan datang mengadapnya. Berkatalah Nabi Sulaiman kepada syaitan-syaitan itu: “Aku memerintahkan engkau berdua, jika pada tahun akan datang, lelaki ini masih lagi mengambil anak burung helang ini. Maka tangkaplah lelaki ini dan belahlah dia menjadi 2 bahagian. Lalu lemparkan satu bahagian ke timur dan satu bahagian lagi ke barat.”

Masa pun berlalu. Setelah setahun peristiwa itu berlaku, lelaki itu lupa akan pesan dan larangan Nabi Sulaiman. Dia kemudian datang semula ke pohon tersebut. Namun sebelum mula memanjat pohon itu, lalu seorang fakir miskin di hadapannya. Kerana kasihan dengan rintihan si miskin itu yang sudah beberapa hari tidak makan, lelaki itu lantas bersedekah dengan memberi sepotong roti kepunyaannya untuk dimakan oleh fakir miskin tersebut. Setelah itu, barulah lelaki itu memanjat pohon kepunyaannya. Sampai di atas pohon, lelaki itu mengambil anak burung helang lalu dibawanya pulang ke rumah.

Sekali lagi, si burung helang itu datang mengadap Nabi Sulaiman lalu melaporkan perbuatan lelaki itu yang telah ingkar akan arahan baginda. Nabi Sulaiman kemudian memanggil dua syaitan yang telah ditugaskan dahulu dengan maksud untuk menghukum kedua-duanya kerana gagal menjalankan perintahnya.

Setelah kedua syaitan itu datang mengadap, Nabi Sulaiman pun bertanya: “mengapa kamu berdua tidak melaksanakan tugas yang telah aku perintahkan dulu?” Kedua syaitan itu pun menjawab: “wahai Khalifah Allah, sesungguhnya kami sentiasa bersedia untuk menjalankan perintahmu. Sewaktu lelaki itu hendak memanjat pohon untuk mengambil anak burung helang, kami sudah bersedia untuk menangkapnya. Tetapi lelaki itu telah bersedekah kepada seorang fakir miskin dengan sepotong roti. Maka Allah telah mengutuskan dua malaikat dari langit yang telah menangkap kami berdua dan melemparkan kami. Seorang dilemparkan ke timur dan seorang lagi dilemparkan ke barat. Kerana kami telah dihalang sedemikian rupa, maka gagallah usaha kami untuk mencelakakan lelaki itu disebabkan sedekahnya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan