Isnin, 27 Julai 2009

SYAITAN DIKURUNG DALAM BALANG

Mengenai syaitan yang berbuat salah dan dipenjarakan dalam balang dan dicampakkan ke dalam laut atau ditinggalkan di atas muka bumi. Penjara yang dimaksudkan adalah sebuah balang yang tertutup rapat dan dimeterai dengan cap mohor kerajaan Nabi Sulaiman a,s. Adapun isinya adalah syaitan-syaitan yang sedang menjalani hukuman dari Nabi Sulaiman akibat berbuat kerosakkan di muka bumi. Untuk lebih jelas mengenainya, di sini dicatatkan dua kisah berkenaan perkara ini.

Pada satu ketika, Musa b. Nashir dikirim sebagai panglima perang ke Daerah Ujung Barat oleh khalifah yang berkuasa ketika itu. Kemudian dalam perjalanannya, tibalah beliau ke suatu pulau yang terpencil di tengah lautan. Di pulau tersebut terdapat sebuah rumah yang di dalamnya terdapat tujuh belas balang besar tertutup dan bermeterai serta dicap dengan mohor kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Beliau lalu memerintahkan anak buahnya supaya membawa empat buah balang tersebut ke hadapannya, dengan maksud untuk diperiksa apa gerangan isinya. Maka salah satu balang itu dibuka tutupnya. Apabila terbuka saja, maka syaitan yang terkurung itu menyatakan taubat terhadap Nabi Sulaiman yang telah menghukumnya.

“ Demi zat yang memuliakan Nabi Sulaiman dengan darjat kenabian. Aku yang pernah berbuat kerosakan di muka bumi ini, tidak akan mengulangi perbuatan itu selamanya.” Kata syaitan itu di hadapan Musa b. Nashir. Setelah syaitan yang dilaknat itu keluar dari balang itu dan mengetahui bahawa Nabi Sulaiman, kerajaan dan istananya sudah tiada lagi. Maka dengan gembira dia berjalan meninggalkan tempat itu.

Adapun balang lain yang belum sempat dibuka oleh Musa b. Nashir diperintahkan supaya dikembalikan ke tempatnya semula.

Kisah lain, masih lagi berkenaan dengan Musa b. Nashir. Ada seorang yahudi yang kemudiannya telah masuk islam. Pada zaman Mu’awiyah dan sebagai panglima perang, Musa b. Nashir dikirim ke Penjuru barat sampai ke Andalusia untuk menegakkan dakwah islam. Ketika menjadi panglima perang itulah dia banyak melihat perkara-perkara aneh terjadi di lautan.

Pada suatu waktu menurut kisahnya, lautan gelap kerana tiada cahaya bulan pada ketika itu. Namun begitu, kapal yang dinaiki tetap meneruskan pelayarannya. Tiba-tiba terdengar seperti ada suatu benda yang melanggar kapalnya. Perkara itu telah berlaku berulang-ulang kali hingga menimbulkan perasaan bimbang terhadap mereka yang berada di atas kapal. Mereka bimbang kapal itu pecah atau bocor. Musa b. Nashir mengarahkan anak kapalnya memeriksa perkara tersebut. Kemudian, mereka mendapati ada beberapa biji balang bewarna hijau terapung dipermukaan air.

Lalu mereka mengambil salah satu balang itu dan membawa naik ke atas kapal. Dipenutup mulut balang itu, terdapat cap mohor yang dimeterai dengan cap yang tidak jelas lagi tulisannya. Musa b. Nashir menyuruh membuka balang itu untuk melihat apa isinya di bahagian bawah. Sejurus saja terbuka balang itu, maka kedengaran suara jeritan.

“Ya Nabiyullah, aku tidak akan mengulangi lagi,” kata syaitan yang terkurung itu. “ Hai yang berada di dalam balang, adakah kamu syaitan yang telah dipenjarakan oleh Nabi Sulaiman a,s?” Tanya Musa b. Nashir. “ Ya, aku syaitan yang dipenjarakan oleh Nabi Sulaiman kerana perbuatan jahatku,” jawab syaitan itu.

Begitulah kisah penemuan dua balang dimana syaitan-syaitan telah dipenjarakan oleh Nabi Sulaiman a.s. dari kisah di atas kita boleh membuat kesimpulan mungkin ada lagi balang-balang penjara syaitan yang belum lagi ditemui di atas muka bumi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan