Sabtu, 25 Julai 2009

PUAKA KUCING HITAM

Helaian 2

Tapi kuburan ini, sudahlah jauh dari manusia dan keramaian, rumahnya pula usang menggerunkan. Jauh sekali untuk menumpang menginap, entah apa makhluk yang bersarang di dalamnya.
Matahari telah condong ke arah barat, dari tempat aku berdiri di halaman belakang rumah, jelas kelihatan sang suria telah mula terlindung di sebalik bukit kecil yang teguh membenteng. Aku masih lagi duduk di tembok belakang, rasa bosan, kesal dan ingin pulang silih berganti datang menerjah. Kalau tidak memikirkan perasaan kawan mahu saja aku bergegas pulang. Tapi demi persahabatan ku masih cuba bersabar. Ku lihat tidak ada pun sebarang keanehan atau keganjilan yang terdapat di situ. Aku rasa kami dah buang masa datang ke situ.
Hanya sebuah rumah kuno dan kubur seorang perempuan yang bernama Kasmah. “Selesai tugas kau?” aku bertanya ketika Jalil datang menghampiriku. ‘Kalau dah selesai, aku rasa lebih baik kita pulang saja” sambungku dengan nada mendongkol.
Tapi kawanku yang satu ini memang aneh, aku lihat fikirannya melayang ke tempat lain. “Agaknya menjelang senja dia akan muncul, aku percaya dia akan menjelma”, jawab Jalil acuh tak acuh. “Siapa yang kau tunggu ni.” Tanya aku dengan sedikit meninggikan suara. Rasa tidak puas hati semakin membara, lain yang aku tanya lain yang dia jawab. Jalil memandang muka aku, aku kira dia akan berkecil hati kerana partanyaan aku tadi sedikit kasar. Tapi dengan selamba dia senyum sambil berkata, “Benda tu bukannya senang nak muncul, pokok pangkalnya mesti sabar.
“Susah aku nak faham kau ni Jalil, kau tengok sekarang dah petang sangat sekejap lagi malam. Kau fikir tak mana kita nak tidur malam ini? Apa kau nak bermalam di rumah usang ini ka?” Tapi berselindung aku terus bertalu-talu menghamburkan pertanyaan. “Kalau perlu mungkin”. “Kalau begitu aku rasa kita bukannya nak cari bahan cerita, tapi nak cari nahas. Kau tengok tempat ni, banyak bahayanya ular, lipan, kalajengking, lumat kita Jalil kalau tidur kat sini.” Aku terus mempersoalkan rancangan Jalil.
“Lagi pun apa yang menariknya tempat ini.” Tanya aku sambil melihat Jalil memandang sekeliling kawasan rumah itu.
“Ada sesuatu yang mesti aku tunggu, dan kalau benda itu menjelma inilah yang akan jadi bahan cerita kita nanti. Sesuatu yang ada kaitannya dengan kubur tua itu..” Sahut Jalil sambil memuncungkan mulutnya ke arah kubur tua itu.
“Apa yang penting sangat tu”
“ Bertenang, aku harap kunjungan kita ini akan berhasil.” Tutur Jalil dengan yakinnya.
“Macammana aku boleh tenang?”
“ Kucing Hitam!!”
“Mana dia?”
“Kita sedang menunggunya”
“Oh! Gila betul. Menyesal aku ikut kau datang ke sini.”
“Sabar”
Dari duduk aku terus bangun, aku mundar-mandir di hadapan Jalil. Otakku ligat berfikir mencari ketenangan. Aku cuba bersikap matang demi seorang kawan. “Baik, sekarang kau ceritakan kepada aku dengan jelas, untuk apa perlunya kita tunggu kucing hitam itu. Apa kucing itu akan datang dan kemudian menceritakan kepada kita sesuatu yang boleh kita tuliskah?” Cetusku sambil mengerutkan kening.
“Begini, sekarang aku nak kau duduk dulu dengar apa yang nak aku cakapkan ini. Begini, kita akan tunggu kucing hitam untuk disembelih.” Jawab Jalil dengan begitu mengejutkan aku.
“Siapa yang nak sembelih, kita ke?” tanya ku lagi
“Bukan, bukan,”
“lalu siapa? Aku tak mahu cari nahas, lebih baik aku balik sekarang juga”
lalu untuk kedua kalinya aku bingkas bangun dan terus menuju kereta kami yang diletakkan di depan rumah. Dengan pantas juga Jalil mengekori dari belakang aku, lalu terus memaut bahuku. Jalil meminta aku agar bersabar sebab tugas kami baru bermula. Cuma kali ini dia lebih berhati-hati menuturkan perkara itu kepada aku. Jalil hendak aku faham dengan rancangannya nanti. Jalil juga secara bersungguh-sungguh memberitahu aku bahawa dia telah mengaturkan satu pertemuan dengan seseorang selepas isyak nanti. Jadi mahu tidak mahu kami perlu menanti orang yang akan datang menemui kami nanti.
Setelah berfikir sejenak, aku bersetuju untuk menunggu orang tersebut, itu pun setelah Jalil menyatakan bahawa jika selepas kami bertemu orang tersebut aku boleh membuat keputusan samada hendak turut serta atau tidak.
“Rancangan yang adil, ok! Aku terima.” Janjiku. Dan ternyata janjiku itu memberi kepuasan kepada Jalil. Buktinya senyumnya semakin melebar selepas itu.
Menurut Jalil lagi, orang yang dimaksudkan itu semasa mudanya pernah berkhidmat di rumah usang ini sebagai pembantu. Dan sekarang walaupun sudah tua, dia tentunya banyak mengetahui hal ehwal berkenaan dengan kehidupan misteri rumah usang ini. Apa yang lebih mengejutkan lagi, Jalil turut mengusulkan untuk kami bermalam di rumah usang ini. Alasannya adalah untuk menunggu kucing hitam yang dimaksudkan itu muncul. Ini kerana menurut penerangan Jalil lagi, dari maklumat yang diperolehinya kucing itu akan muncul selepas lewat tengah malam nanti. Kucing hitam itu diharap akan merungkai sedikit sebanyak misteri rumah usang tersebut. Begitulah penerangan yang diberikan kepada aku. Jadi tanpa banyak pilihan aku terpaksa menunggu kedatangan kucing hitam dan orang tua itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan