Isnin, 27 Julai 2009

BERSEMUKA DENGAN PUAKA LAUT

Kawasan pantai di Pulau Pinang sememangnya menjadi pilihan para pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara untuk menikmati keindahan pantainya yang cantik. Batu Feringgi, Pantai Miami dan Teluk Bahang adalah antara lokasi yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk berehat atau pun untuk berkhemah.

Kawasan pantai lebih menjadi tumpuan oleh para peminat aktiviti luaran dari mengadakan aktiviti perkhemahan di kawasan hutan. Kawasan hutan lebih dianggap sebagai satu kawasan yang ‘keras’ dengan pantang larang daripada kawasan pantai yang dianggap selamat daripada pantang larang. Tetapi kawasan laut sebenarnya juga mempunyai gangguan dari makhluk-makhluk yang menghuni sekitar kawasan pantai.

Perkara ini di alami sendiri oleh seorang pemuda yang kerap berkhemah bersama kawan-kawannya sekiranya ia mempunyai masa terluang. Ismail Hassan, seorang pegawai di salah sebuah agensi swasta di Pulau Pinang menyatakan bahawa dia pernah diganggu oleh satu lembaga ketika berkhemah di Pantai Teluk Bahang bersama rakan-rakannya dua tahun lepas.

“Kami selalunya berkhemah di sana selama tiga hari dua malam. Selalunya masa inilah semua kawan-kawan dapat berkumpul bersama-sama selepas lama tidak berjumpa. Aktiviti sebeginilah yang mengeratkan lagi persahabatan kami semua,” jelas Ismail memulakan perbualan. “Kami selalunya berkhemah di Teluk Bahang kerana di sana terdapat kawasan yang redup, senang mendapat sumber air bersih dan dekat dengan Pekan Teluk Bahang. Kalau kami nak membeli apa-apa senanglah sikit.”

Ismail menyatakan mereka berkhemah selalunya seramai lapan ke sepuluh orang. Dia menyatakan bahawa lebih meriah jika ramai kawan-kawan yang turut serta dalam aktiviti yang diadakan. “Sekarang saya sudah lama tidak berkhemah bersama kawan-kawan. Maklumlah semua sudah sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Selepas saya mengalami kejadian diganggu semasa berkhemah dulu, saya menjadi kurang berminat untuk meneruskan hobi saya ini,” terang Ismail lagi.


‘Saya akui, saya memang agak penakut sedikit jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan saya yang lain. Saya agak kurang berminat untuk mendengar cerita-cerita hantu yang diceritakan oleh kawan-kawan saya. Tetapi semasa perkhemahan tersebut, saya sendiri mengalami kejadian yang menggerunkan itu,” katanya lagi.

“Kejadian diganggu oleh lembaga aneh berlaku semasa saya dan seorang lagi kawan saya iaitu Zizan, ditugaskan untuk mengambil air bukit yang terletak agak ke dalam sedikit dari lokasi perkhemahan. Berbekalkan sebuah lampu picit dan bekas air, kami berdua berjalan kaki sejauh lebih kurang 500 meter dari kawasan perkhemahan. Semasa mengambil air tersebut, kami tidak mengalami apa-apa keanehan. Tetapi ketika dalam perjalanan pulang ke khemah, kami telah dikejutkan oleh kemunculan satu lembaga aneh,” tutur Ismail lagi.
Ismail juga telah mengundang rakannya Zizan untuk sama berkongsi cerita tentang kejadian tersebut. Zizan turut menyambung kembali cerita seperti yang dimulakan oleh Ismail. Menurut Zizan semasa dalam perjalanan pulang ke khemah, dia melihat seperti ada orang yang berjalan ke arah mereka. Menurutnya pada ketika itu, jam menunjukkan hampit pukul 10 malam. Zizan memerhatikan lembaga tersebut kerana ia berjalan agak pelik sedikit dari cara manusia berjalan. Ia berjalan agak bongkok, manakala tangannya agak panjang dan hampir-hampir mencecah tanah.

“Mula-mula tu rasa biasa saja, tapi bila dah makin hampir barulah kami sedar bahawa itu bukanlah manusia biasa. Mukanya nampak bengkak dan lembam. Selain itu, ada bau yang amat busuk menyucuk ke dalam lubang hidung kami,” jelas Ismail pula. “Kebetulan pada masa itu si Zizan dengan tidak sengaja tersuluh ke arah mukanya. Jadi kami melihat muka lembaga tersebut seperti orang yang mati lemas, ada cecair yang mengalir dari mata dan hidungnya, matanya agak terbeliak memandang kami,” Zizan dengan segera menyuluh ke arah bawah setelah menyedari di depan kami bukanlah manusia biasa,” tambah Ismail lagi.

Disebabkan keadaan itu, Ismail dan rakannya Zizan terpaku di situ dan tidak tahu sama ada mahu maju ke depan atau berpatah balik kebelakang. Manakala lembaga itu hanya berdiri di tempat dimana mereka melihatnya pada kali pertama. “Ismail pada masa itu saya tengok dah menggigil di sebelah saya, mukanya pun dah bertukar menjadi pucat. Saya pun merasa takut juga pada masa itu, siapa yang tak takut kalau tiba-tiba sahaja muncul di depan secara langsung lembaga-lembaga aneh,” kata Zizan meneruskan cerita Ismail. “Ismail tanya saya apa yang nak buat pada masa itu. Saya sebenarnya dah tak tahu nak buat apa-apa. Nak tunggu kat situ lagi takut, manalah tahu tiba-tiba lembaga itu angkat geng ka?” Kata Zizan dalam keadaan berseloroh.

Selepas tenggelam punca hampir seketika, Zizan mengambil keputusan untuk lari sahaja pulang ke khemah. Tetapi Ismail tidak bersetuju kerana dia tidak yakin untuk melintasi lembaga tersebut. Ini adalah kerana untuk pulang ke khemah mereka mesti melalui jalan dengan melintasi lembaga itu. “Tapi bila saya tengok lembaga itu mula bergerak ke arah kami, terus saya katakan kepada Zizan yang saya dah bersedia untuk memecut ke khemah. Daripada tunggu lembaga itu menghampiri kami, baik kami cabut awal-awal,” jelas Ismail sambil tersenyum. “Zizan menyuruh saya membaca Ayat Kursi sebanyak 7 kali, dan terus saya lakukan seperti yang disuruh olehnya. Kami melihat lembaga itu tiba-tiba terhenti, saya yakin bahawa ia takut untuk menghampiri kami kerana kami memohon dari Allah dengan membaca ayat-ayat Al-Quran. Kemudian Zizan mengajak saya untuk meneruskan perjalanan menuju ke khemah. Semasa berjalan menuju ke arah lembaga tersebut, mulut saya tidak terhenti-henti membaca Ayat Kursi. Saya langsung tidak menoleh ke arah lembaga tersebut.” Ismail menceritakan pengalaman yang begitu menakutkannya.

“Saya pun tidak berhenti-henti membaca Ayat Kursi semasa memulakan perjalanan. Sama seperti Ismail, saya juga tidak sanggup memandang ke arah lembaga itu. Tapi apa yang pasti lembaga itu hanya berdiri di tempatnya. Namun, sewaktu melintasi lembaga tersebut, saya dapat mencium bau yang amat busuk, sangat meloyakan. Saya hampir nak terkeluar isi perut sewaktu mendekati lembaga tersebut. Apa yang lebih mendebarkan ialah, lembaga tersebut juga mengeluarkan bunyi seperti orang mendengus, mungkin lembaga itu sedang marah. Mungkin ia marahkan kami kerana kami membaca Ayat-Ayat suci Al-Quran dan tidak dapat mengapa-apakan kami berdua,” sahut Zizan pula.

“Sebaik saja kami melepasi lembaga itu, terus saja saya memecut lari ke khemah tanpa menoleh kebelakang lagi. Masa itu saya rasa saya lari laju teramat sangat kerana terlampau takut. Saya dah tak fikirkan pasal benda lain dah, yang penting saya mahu sampai ke khemah,” kata Ismail lagi.

“Saya ada juga menoleh ke belakang, saja untuk memastikan mana la tau kot-kot lembaga itu mengejar kami pula. Bila saja saya menoleh ke belakang, tekaan saya tepat. Saya melihat lembaga itu cuba untuk mengejar kami, tapi saya diamkan saja dan tidak memberitahu Ismail kerana takut ia gelabah pula. Tapi selepas kami hampir dengan jalan raya, barulah lembaga tersebut tidak lagi kelihatan lagi di belakang kami. Tapi kami tidak berhenti berlari sehinggalah sampai ke khemah.” Zizan menambah.

“Semasa kami tiba di khemah, kawan-kawan kami yang lain sedang bersantai di tepi ungun api. Mereka terkejut dengan kemunculan kami yang tercungap-cungap. Mereka bertanya kepada kami apa yang telah berlaku, tapi kami mendiamkan diri sahaja. Muka masing dah pucat, nafas pun termengah-mengah. Macam mana nak cerita,” sambungnya lagi.

“Kemudian salah seorang kawan kami bertanyakan tentang air yang sepatutnya kami ambil. Baru saya sedar, saya telah tertinggal bekas air semasa bertembung dengan makhluk aneh tersebut. Kawan-kawan kami terus bertanya kenapa muka kami pucat sekembalinya kami dari mengambil air. Pada mulanya saya malas nak menceritakan apa yang telah kami alami, tetapi apabila Zizan memulakan cerita, saya pun turut menerangkan apa yang terjadi ke atas kami,” sahut Ismail dengan nada yang serius.

Selepas peristiwa bertembung dengan lembaga tersebut, Ismail menyatakan yang dia menjadi agak pendiam, kerana dia masih terbayangkan wajah lembaga tadi. Muka lembaga itu yang kelihatan seperti orang mati lemas masih menghantuinya, hinggakan kerancakkan kawan-kawannya bercerita langsung tidak menarik perhatiannya.

“Tak ada pula kawan-kawan kami yang berani pergi mengambil bekas air yang tertinggal. Semua kawan-kawan masih terkejut dengan apa yang telah tejadi kepada kami. Langsung tak ada sesiapa yang ketawa atau mempersendakan apa yang kami ceritakan,” jelas Ismail.

Semenjak kejadian itu, jelas telah mempengaruhi Ismail, dia sejak itu sering merasa takut untuk pulang lewat malam ke rumahnya. “Biasanya kalau kita dah pernah lemah semangat, senang makhluk-makhluk halus ini nak menguji kita. Itu yang saya tidak berapa gemar sangat.” Zizan juga menyatakan dia masih lagi dihantui wajah makhluk itu, dan masih lagi dapat mengingati wajah makhluk itu. “Saya tidak mahu hidup saya sentiasa dalam keadaan ketakutan. Lagipun saya sudah beristeri, saya kena meneguhkan semangat untuk membimbing isteri saya. Kalau saya pun masih hidup dalam ketakutan macam mana saya nak membimbing isteri saya,” kata Zizan lagi.

“Kami sekarang pun tak pergi berkhemah lagi. Semua sibuk dan jarang berjumpa, kalau jumpa pun sekali sekala pada malam minggu di kedai makan,” tambahnya lagi. Bagi mereka bedua inilah pengalaman mengerikan yang pernah ditempuhi hingga ke hari ini. Mereka berdua tidak mahu sama sekali untuk mengalami peristiwa seperti itu. Tetapi sekiranya sudah ditakdirkan untuk bertemu, itu tidak dapat dielakkan lagi. Tapi seboleh-bolehnya mereka tidak mahu untuk mengalami peristiwa seperti itu lagi. “Kami harap dapat melupakan pengalaman menyeramkan itu dari fikiran kami,” ujar mereka bedua lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan