Isnin, 27 Julai 2009

GANGGUAN BEBOLA API

Saiful telah membeli sebuah rumah teres dua tingkat di satu kawasan di Rawang. Pada satu hari minggu, Saiful telah bercadang untuk menjemput kawan-kawan sepejabatnya untuk bersama-sama membuat BBQ di rumahnya. Jadi, pada pagi itu dia telah membakar hutan lalang di belakang dan tepi rumahnya dengan tujuan untuk membersihkan kawasan rumahnya. Setelah membakar lalang-lalang tersebut, beliau telah keluar bersama-sama isterinya untuk membeli barang-barang keperluan untuk majlis BBQ tersebut.

Semasa pulang sesudah membeli-belah, isterinya menegur kerana masih terdapat api yang belum terpadam di bahagian belakang rumah mereka. Isterinya kemudian menunjukkan ke arah api yang sedang menyala di belakang rumah mereka. Namun yang anehnya, api itu kelihatan pelik. Melalui pengamatan Saiful, api itu kelihatan tidak bergerak-gerak, tidak seperti api lain yang lazimnya akan mengikut arah angin bertiup atau akan bergerak membakar di kawasan yang belum terbakar. Namun mereka tidak mengendahkan sangat hal itu kerana lebih tertumpu kepada majlis undangan malam nanti.

Pada malam itu, majlis BBQ yang diadakan berjalan lancar seperti yang mereka hajati. Setelah semua tetamu dan undangan pulang, mereka suami isteri juga mengambil peluang merehatkan badan dan tidur. Namun semasa mereka berdua sedang nyenyak tidur, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi jeritan di tengah katil antara mereka berdua. “Kenapa awak memekik tengah-tengah malam buta ni,” tanya Saiful sedikit marah kepada isterinya. “Mana ada, saya ingat abang yang memekik tadi,” balas isterinya pula.

Sedang mereka berdua terpingga-pingga dengan kejadian yang berlaku, tiba-tiba sahaja entah dari mana muncul bebola api di depan mereka. Keadaan di dalam bilik tidur itu menjadi semakin panas, dan mereka berdua hanya terpaku tanpa mampu berbuat apa-apa. “Mula-mula berbola api itu hanya terapung begitu sahaja. Tetapi kemudiannya ia menjadi semakin membesar dan suasana dalam bilik tidur menjadi semakin panas,” cerita Saiful.

Setelah berjaya mengumpul sedikit kekuatan, Saiful dengan segera menarik isterinya keluar dan dengan tergesa-gesa mereka meninggalkan rumah. Mereka terus menuju ke rumah emak mertua Saiful yang terletak di Sungai Besi. Keesokan harinya, mereka berdua mengalami sakit-sakit badan dan keadaan mereka semakin hari semakin teruk. Wajah Saiful dan isterinya menjadi semakin pucat, berat badan mereka juga semakin menurun. Akibatnya, Saiful tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap tugasnya.

Keadaan ini memaksa emak mertuanya meminta bantuan seorang bomoh untuk memulihkan semula keadaan mereka. Menurut pandangan bomoh tersebut, penunggu kawasan rumah mereka menjadi marah kerana kononnya rumah penunggu ini telah dibakar oleh Saiful semasa dia membersihkan lalang-lalang di kawasan rumahnya. Menurut bomoh ini lagi, penunggu itu mahu membalas dendam terhadap Saiful dan isterinya. Sekiranya tidak diubati, boleh mendatang kemudaratan yang teruk kepada mereka suami isteri. Namun apa yang penting semua ini terjadi dengan keizinan Allah belaka.
Setelah berikhtiar dengan berubat melalui bomoh tersebut, dengan izin Allah juga, akhirnya Saiful dan isterinya semakin pulih dari gangguan yang menimpa mereka. Saiful setelah itu, telah mengambil keputusan menjual rumah tersebut dan sekarang menetap di Petaling Jaya. Saiful menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk membakar kediaman penunggu tersebut. Hakikatnya pandangan mata kasar manusia seringkali membataskan kita dari mengetahui tentang alam-alam lain, hakikatnya alam makhluk lain juga wujud kerana mereka juga makhluk Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan