“ Helo Pak Raman ni,” Rahman Abdullah 65 termengah-mengah menjawab telefon. Sewaktu deringan telefon berbunyi dia masih lagi di luar rumah. “ Akulah Haji Tapa, eh, kita kena ke hospital sebab ada jenazah yang nak diuruskan malam ni,” beritahu rakannya Haji Mustapa.
“ Aku nak makan kejap ye, kita jumpa di hospitallah,” lalu Pak Raman pun meletakkan ganggang telefon. Dia makan alar-kadar dan agak tergopoh-gapah kerana ada jenazah yang menanti di sebuah hospital di selatan tanah air yang perlu diuruskan pada malam itu juga. Sebagai pengurus jenazah, tugas seperti ini tidak boleh ditolak. Mujur juga ada Haji Mustapa, dulu dia terpaksa mengurus jenazah pukul 12 tengah malam seorang diri.
Brummm..! Brummmm! Brumm! Motosikal Honda Pak Raman membelah malam menuju ke hospital yang dimaksudkan. Lebih kurang lima belas minit Pak Raman pun sampai di perkarangan wad menyimpan mayat..
Tepat pukul 11 malam, Pak Raman sudah berada di hospital. Haji Tapa baru saja sampai. Jenazah belum dapat diserahkan kepada Pak Raman untuk dimandikan kerana ada sedikit urusan yang belum beres. Sementara itu, mereka berdua mengemaskan tempat memandikan jenazah dan menyediakan kelengkapan seperti sabun dan lain-lain untuk mempercepatkan kerja kerana malam semakin larut dan hospital itu pula sunyi sepi.
“ Pak Raman, ini jenazahnya,” kata seorang pembantu hospital yang menolak troli keluar dari kawasan bilik mayat hospital tersebut. Jenazah itu ditolak ke bilik pengurusan mayat. Setelah diturunkan dari troli, jenazah itu seterusnya diangkat ke tempat mandi. Badan mayat itu kelihatan kekuningan, seorang lelaki dalam usia 30-an dan meninggal dunia kerana demam panas.
Tidak ada saudara mara atau sahabat handai yang datang menziarahinya. Pada pengamatan Pak Raman, jenazah itu tidak seperti lelaki biasa. Dia lembut, Haji Tapa tersenyum. Dia juga faham jenazah lelaki yang mereka uruskan ini bukanlah lelaki biasa tetapi lelaki lembut. Walaupun begitu, kewajipan ini perlu ditunaikan. Apa yang berlaku kepada lelaki ini sebelum dan sesudah ia mati hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t saja.
Selepas setengah jam dari masa jenazah ini diterima, maka kerja-kerja memandikannya pun bermula. Haji Tapa kebetulan keluar sekejap untuk mengambil sesuatu, dan tinggallah Pak Raman meneruskan kerja tersebut seorang diri dulu. Jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam.
Pak Raman pun menyabun badan si mati. Entah bagaimana, ketika menggosok badan jenazah itu, sabunnya terlepas dan terjatuh. Lalu Pak Raman mencari-cari sabun tersebut yang terjatuh di dalam longkang. “ Pukk!” Pak Raman terasa punggungnya dtepuk orang ketika dia menonggeng-nonggeng mencari sabun dalam longkang.
“ Apa main punggung ni Ji?” marah Pak Raman yang menyangka Haji Mustapa bergurau menepuk punggungnya.
“ Bila saya dapat ambil sabun dan menoleh ke belakang ternyata Haji Mustapa tak ada. Tapi saya lihat tangan Mayat yang saya kiamkan sebelum itu telah terkulai. Matanya terbuka, dia macam tersenyum. Lalu saya membetulkan kedudukan tangannya,” cerita Pak Raman.
Sejurus kemudian Haji Mustapa masuk semula ke bilik, dan pada ketika itu sekali lagi punggung Pak Raman ditepuk kuat. Kali ini sudah pasti bukan perbuatan Haji Mustapa. Namun Pak Raman tidak Nampak Haji Mustapa masuk. “Aji, janganla main punggung,” sekali lagi Pak Raman menuduh Haji Mustapa bergurau menepuk punggungnya.
“Bila saya main punggung Pak Raman,” balas Haji Mustapa kehairanan.
Pak Raman terdiam, dia perasan macam ada sesuatu yang tak kena ni. Lalu mata Pak Raman beralih memandang ke arah jenazah yang sedang diuruskannya. Berderau darahnya apabila sekali lagi dia melihat tangan mayat itu terjuntai untuk kali yang kedua. Matanya celik kembali dan seolah-olah sedang tersenyum. Lalu mahu tak mahu Pak Raman membetulkan semula kedudukan tangan jenazah tersebut. “Saya tutupkan mata dan meletakkan tangannya dalam keadaan kiam semula,” jelas Pak Raman lagi.
Setelah selesai memandikan jenazah lelaki lembut tersebut. Pak Raman berpusing untuk mengangkatnya, sekali lagi punggungnya ditepuk lembut. Ini kali ketiga punggungnya ditepuk. “Saya pasti bukan Haji Mustapa yang menepuk punggung saya, tapi jenazah lelaki lembut itu yang melakukannya sebanyak tiga kali,” ujar Par Raman bersungguh-sunguh.
Selepas kejadian kali ketiga punggungnya ditepuk, Pak Raman mengambil keputusan mendiamkan diri sahaja. Dia ada juga menjeling Haji Mustapa yang kelihatan tidak perasan apa-apa tentang kejadian yang telah berlaku terhadap dirinya. Mereka berdua meneruskan kerja menguruskan jenazah tersebut sehingga siap dan diserahkan semula kepada pihak hospital.
“Saya terasa tangan yang menepuk punggung saya itu lembut macam tangan perempuan. Tepukkannya tidaklah kuat tapi terasa,” cerita Pak Raman. Kejadian aneh itu tidak diceritakan kepada sesiapa kecuali kepada Haji Mustapa pada keesokkan harinya. Mereka berdua hanya ketawa lucu kerana selama ini belum pernah kejadian seumpama itu berlaku. “Hai, dia geram tengok punggung awak tu!” Kata Haji Mustapa sambil ketawa berderai selepas Pak Raman menceritakan kejadian pada malam tadi.
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan