Aku masih ingat lagi kejadian yang menyeramkan itu. Waktu itu aku yang sedang bekerja di sebuah syarikat swasta di Ibu Kota dikehendaki pulang segera ke kampung sejurus mendapat panggilan telefon yang menyatakan ibuku sakit tenat.
Ketika itu pukul 8.00 malam dan aku baru pulang kerja. Aku terpaksa memecut kereta untuk segera sampai ke kampungku di Pantai Timur.
Oleh kerana terlalu risau, aku sudah tidak menghiraukan keselamatan diri. Kereta Proton yang aku pandu dipecut selaju-lajunya. Tambahan pula apabila melalui lebuh raya, pada waktu malam begini tidak banyak kenderaan yang menggunakan lebuhraya tersebut.
Panggilan kedua daripada salah seorang kakakku tambah mengecutkan lagi hatiku. Terkenang aku senyum tawa dan gurau senda ibu tersayang. Aku berdoa agar sempat untuk dipertemukan dengannya buat kali terakhir.
Simpang masuk ke kampungku semakin hampir. Waktu itu sudah pukul 11,30 malam. Hati agak lega kembali walaupun jalan di situ sunyi sepi tanpa sesiapa yang melaluinya. Namun takdir mengatasi segala-galanya. Sesampainya aku di satu selengkoh, kelihatan sekumpulan gajah liar melintasi jalan raya dan secara spontan juga aku terlihat ada pengembala yang mengepalai kumpulan gajah liar itu.
Pengembala yang berpakaian serba hitam itu, memegang sebatang tongkat sambil tersenyum memandang ke arahku. Aku kehairanan dan sekaligus gagal mengawal stereng kereta. Sudahnya, keretaku terbabas dan berpusing-pusing beberapa kali di tengah jalan raya sebelum menjunam di cerun bukit yang tingginya lebih dari satu meter. Aku pengsan.
Apabila sedar, aku berada di wad ICU setelah hampir 7 hari koma. Aku cedera parah dibahagian kepala dan dada. Manakala sebelah tanganku pula tidak dapat diselamatkan lagi.
Ibu pula mengadap Ilahi beberapa jam selepas tragedi itu menimpaku. Aku dimaklumkan bahawa tempat itu memang berpenunggu dan ramai yang telah menjadi korban kemalangan. Kejadian gajah liar bersama gembalanya adalah salah satu kejadian aneh yang sering berlaku di kawasan itu. Aku pasrah dan redha dengan ketentuan-Nya
-
Serem juga ni blog...sukses selalu ya....trima kasih dah mampir ke blog ku
BalasPadam