Rabu, 29 Julai 2009

ALAM JIN

Mengikut penulisan yang ditulis oleh HJ Abdul Halim Bashah, alam ini selain dihuni oleh manusia, ia juga dihuni oleh makhluk ghaib yang bernama jin. Alam kedua-dua makhluk ini letaknya sangat berdekatan bahkan boleh dikatakan letaknya saling bertindih (Cuma dimensinya sahaja yang berbeza. Dan ada antaranya hidup berkeliaran dengan manusia di rumah-rumah, menyerupai kucing dan ular).

Sesuatu tempat itu, mungkin tempat kediaman jin ataupun mungkin perkampungannya. Sebab itu bila berada di tempat yang kita belum kenal keadaanya, janganlah bertindak sebarangan atau bercakap besar dan takbur. Ini kerana selain dosa takbur dan belagak, takut nanti perlakuan kita itu sacara tidak sengaja akan menganggu ketenteraman jin dan menjadikan ia marah. Harus diingat, jika sesama manusia pun mungkin akan melukakan hati jika kita berlagak dan takbur, begitu juga dengan jin. Mereka juga ada kehidupan dan ada pelbagai perangai sama ada baik atau jahat.

Kebanyakan manusia walaupun percaya adanya makhluk ini disekelilingnya, tapi kerana tidak nampak, maka mereka mudah terkena tipuan dan godaannya. Dengan ini patutlah kita sedari, bahawa syaitan itu selalu mengintip manusia bagi mencelakakan serta membinasakan anak adam. Sesungguhnya, jin adalah makhluk yang juga mempunyai akal seperti manusia. Ia tidak dapat kita lihat dalam bentuk aslinya. Manusia hanya dapat melihatnya apabila mereka menjelma dalam bentuk berjirim.

Menurut kejadiannya, jin ini merupakan makhluk yang perkasa yang boleh menunduk dan mengalahkan manusia. Namun mereka dengan izin Allah s.w.t tidak mempunyai ruang untuk menyambar manusia kerana Allah s.w.t menjadikan bagi manusia (yang sentiasa mengingatiNya) malaikat-malaikat penjaga yang lebih gagah lagi daripada jin. Dan dengan dua orang malaikat yang sentiasa berada disampingnya, manusia dengan izin Allah s.w.t dapat mengalahkan jin dengan mudah. Jika Allah s.w.t berkehendakkan sesuatu perkara terjadi atau bagi menyempurnakan Qadha atau Qadarnya maka akan berengganglah (menjauhkan) malaikat itu daripada manusia. Pada ketika itulah dikala manusia lalai, maka jin berpeluang untuk menundukkan manusia.

Sesungguhnya tubuh jin dan manusia itu terbina daripada bahan yang boleh musnah, maka terjadinya kemusnahan dan kematian itu, turut sama dialami oleh kedua-dua makhluk ini kecuali iblis yang dilaknat. Kerana dijanjikan Allah s.w.t akan kematiannya

sebelum sangkakala yang pertama ditiupkan.

Kewujudan Jin dan Iblis

Orang-orang arab zaman jahiliah mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ini dan kemudiannya diperkuatkan lagi bila datangnya agama Hanif (pengikut agama tauhid), walaupun begitu terdapat satu golongan daripada puak muktazilah yang mengingkarinya. Islam mengwajibkan pengikutnya beriman akan adanya jin. Orang yang mengingkari kewujudan jin dianggap kafir, sebabnya ianya telah menolak sebahagian isi kandungan Al-Quran.

Allah s.w.t telah mencipta jin sebelum Adam a.s dijadikan, dimana dikalangan mereka yang disebut ‘al-Bun’ telah terlebih dahulu mendiami bumi. Tetapi makhluk al-bun ini telah melakukan kerosakkan di muka bumi sehinggalah Allah memerintahkan malaikat yang diketuai oleh iblis memerangi mereka. Mana-mana yang tidak mati dalam peperangan diusir sehingga mereka lari dan tinggal di dalam lautan. (Sebab itu terdapat berbagai-bagai penunggu yang mendiami pulau-pulau terpencil di tengah laut)

Dalam Al-Quran, surah yang ke-72 iaitu Al-Jinn (diturunkan Di Mekah), yang mengandungi 28 ayat. Banyak membicarakan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan perkara ini. Jin tidak sama dengan manusia dan tidak pula dengan malaikat (dari segi jisim dan asal kejadian). Namun demikian, jin lebih dekat dengan manusia persamaannya dengan manusia iaitu dari segi akal dan dapat membezakan baik dan buruk sesuatu perkara itu. Mereka juga hidup seperti manusia, makan minum, berkelamin, mempunyai keturunan, berilmu, mempunyai akal, usaha dan ikhtiar. Serta dipertanggungjawabkan untuk beribadat kepada Allah s.w.t (taklif) dan ditegah melakukan kekufuran dan kemaksiatan.

Asal Usul Jin

IBN Abbas r.a meriwayatkan bahawa sesungguhnya di antara langit dan bumi di tengah-tengahnya terdapat lautan api yang tidak berasap dan dikatakan jin dan syaitan diciptakan oleh Allah s.w.t dari bahagian lautan api tersebut. “Dan Allah telah ciptakan Jaann daripada nyalaan api yang sangat panas,”- (Ar-Rahman: 15) ramai yang mentafsirkan kata ‘maarij’ di atas lidah api.

Ibnu Mas’ud telah berkata, “Angin Samuun di dunia ini hanyalah sebahagian daripada 70 bahagian daripada angin yang sangat panas yang daripadanya Allah menjadikan Jaann.” Ada keterangan dalam hadis bahawa angin ini adalah daripada pembakaran neraka jahanam.

Jaann adalah bapa segala jin, sebagaimana Adam ialah bapa sekalian manusia. Manakala syaitan adalah sebahagian daripada jin kafir. Mereka yang menjadi syaitan, lazimnya bersifat ingkar malah tugasnya mendorong atau membawa manusia kepada kerosakkan akidah. Hatinya sudah tertutup untuk mencari jalan kebenaran. Jin yang mukmin tidak dinamakan syaitan. Iblis juga dikatakan dari keturunan jin, walaupun ada sesetengah pendapat yang mempertikaikan dan mengatakan iblis itu asalnya daripada golongan malaikat. Pendapat ini berdasarkan kepada Ayat Al-Quran surah ‘al-Baqarah’ ayat 34. Ibn Kathir bagaimanapun menolak hujah ini kerana surah ‘Al-Kahf’ ayat 50 lebih jelas menyebut iblis itu dari golongan jin. “Dan apabila kami berkata kepada malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia adalah daripada golongan jin, lalu ia ingkar akan perintah Tuhannya.”

Umur Jin / Syaitan

Umur jin tidaklah dikirakan menurut hari (siang dan malam), tetapi dikira menurut ratusan dan ribuan tahun. Ada di antaranya yang berusia tiga ribu tahun, ada yang empat ribu, lima ribu dan ada yang mencapai enam ribu tahun. Bahkan ada yang hampir dengan umur dunia walaupun sedikit jumlahnya. Akan tetapi dikalangan syaitan ada yang seperti iblis hidup sejak dahulu lagi. Misalnya kelima-lima anak iblis yang sampai hari ini mereka masih lagi hidup.

Makhluk jin termasuk syaitan dipanjangkan umur mereka sehingga bila dagu dan lutut mereka sudah bersentuhan lantaran sangat tua, mereka akan menjadi muda kembali. Biar pun Allah s.w.t memanjangkan umur mereka, namun mereka juga akan mati. Sebagaimana manusia, setelah mati akan kembali menjadi tanah, jin kembali kepada api, kecuali apabila jin-jin ini menjelma kepada tubuh ketanahan (seperti manusia, ular, anjing dan kucing) dan apabila dia dibunuh oleh manusia pada masa itu dalam bentuk jelmaannya, maka ia akan mati dalam bentuk yang dijelmakannya itu.

Tetapi iblis berumur panjang sehingga ke hari kiamat. “Panjangkanlah umurku sampai hari mereka dibangkitkan.” Allah s.w.t menjawab, “Sesungguhnya engkau termasuk di antara mereka yang dipanjangkan umurnya.” – (al-A’raf: 14-15). Sebahagian ahli tafsir berkata, iblis akan dimatikan sebelum tiupan sangkakala pertama lagi. Dalam dunia jin, usia perkahwinan berkisar antara 170 hingga 250 tahun. Usia ini dipandang sebagai usia perkahwinan yang paling baik.

Terdapat hadis yang menyatakan Allah s.w.t telah menjadikan malaikat, jin dan manusia kepada 10 bahagian. Nisbah bilangan manusa hanyalah 1%, bilangan jin 9% manakala malaikat ialah 90%. Rasulullah s.a.w pernah bersabda (maksudnya) “Sesungguhnya Allah mencipta malaikat, jin dan manusia itu 10 bahagian. Kadar keramaian malaikat ialah 9 bahagian, sedangkan jin dan manusia itu hanya 1 bahagian. Kemudian dari satu bahagian itu dipecahkan kepada 10 bahagian kecil. Sembilan bahagian daripadanya adalah bilangan jin, manakala hanya satu bahagian sahaja bilangan manusia.