Isnin, 17 Ogos 2009

IBLIS DAN KETURUNANNYA


Iblis Dan Keturunannya

Iblis dan Jaan adalah dua makhluk halus yang walaupun dari rumpun yang sama iaitu sama-sama dijadikan daripada api. Namun, masih terdapat beberapa perbezaan yang boleh diklafikasikan. Sesetengah ulama mengatakan bahawa sebelum iblis menderhaka terhadap Allah s.w.t kerana enggan sujud kepada Nabi Adam, dia telah pun menyandang jawatan ketua kepada bangsa jin di bumi, bukan bapa jin seperti sesetengah pendapat. Ulama Masihi dan Yahudi menyangkal sesetengah pendapat ahli tafsir dan sesetengah cendiakawan Arab yang menyatakan iblis itu adalah bapa jin, pastinya ia mempunyai isteri. Sedangkan tidak ada disebut mengenai yang demikian dalam mana-mana sumber. Dalam Al-Quran, surah al-Khaf :50, ada menyebut tentang zuriat iblis tetapi tidak menyebut isteri iblis.

Asal iblis ini ialah penjaga syurga ( Khaazin) dan ketua langit di dunia. Ia juga mempunyai kekuasaan di bumi. Dalam bahasa arab namanya ialah al-Harith (penjaga), dan Azazil dalam bahasa suryani. Menurut An-Nuqaasy, iblis juga digelar Abu Kirdaus. Kerana ia kuat beribadat dan paling banyak ilmu maka ia mencapai martabat para malaikat yang mempunyai empat sayap. Penafsir Qataadah menyebut berita yang disampaikan oleh Sa’id bin Al-Musayyab, bahawa iblis itu adalah antara ketua malaikat-malaikat. Dia juga dipanggil ‘Jin’ kerana dinisbahkan kepada ‘Al-Jannah’ iaitu syurga kerana dia adalah penjaga syurga.

Al-Mas’udi menyatakan bahawa selepas Allah s.w.t selesai mencipta bumi, Dia telah menempatkan makhluk jin di bumi iaitu sebelum Dia mencipta Adam. Namun golongan jin itu telah melakukan pertumpahan darah melalui pertempuran dan perkelahian. Apabila iblis melihat mereka tidak mahu berhenti dari menderhaka kepada Allah s.w.t, lalu ia memohon kepada Allah s.w.t supaya mengangkat dirinya ke langit. Sejak itu, iblis telah tinggal bersama malaikat serta menyembah Allah s.w.t dengan tekun.

Manakala itu, Allah s.w.t telah mengirim sepasukan malaikat yang diketuai oleh iblis untuk menumpaskan jin (al-Bun) di bumi (segolongan dari kaum iblis), maka berkatalah iblis di dalam hatinya “ sesungguhnya aku telah melakukan sesuatu yang tidak seorang pun boleh melakukannya. Dan Allah telah menugaskan aku dengan urusan ini kecuali kerana keistimewaanku ke atas seluruh malaikat.” setelah itu Allah s.w.t telah mengangkat iblis sebagai penjaga langit yang terdekat. Keadaan ini telah menyebabkan iblis menjadi semakin sombong dan bongkak.

Lalu Allah s.w.t hendak mencipta Adam, dan Dia berfirman kepada malaikat-malaikatnya, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi,” (Al-Baqarah:30). Iblis menyangka setelah berjaya mengusir kaum jin yang menimbulkan kerosakkan di muka bumi, dan dengan ketekunan dia beribadat kepada Allah. Tentu dia yang akan dipilih oleh Allah s.w.t sebagai khalifah dimuka bumi. Tetapi iblis tidak berpuas hati apabila manusia (Adam) yang dipilih menjadi khalifah dimuka bumi, lalu timbullah perasaan dengki iblis terhadap Adam.

Allah s.w.t menciptakan Adam, kemudian memberikannya bentuk dan membiarkannya tanpa roh dalam keadaan berupa tanah kering seperti tembikar selama seratus dua puluh tahun, manakala satu pendapat lagi mengatakan selama empat puluh tahun. Apabila para malaikat menjumpainya, mereka berasa terkejut. Yang paling terkejut ialah iblis. Iblis melaluinya lalu menendangnya, apabila ditendang ia berbunyi seperti tembikar yang kosong. Seperti dalam firman Allah s.w.t “dari tanah kering seperti tembikar” (Ar-Rahman:30)

Sehingga datanglah perintah Allah s.w.t menyeru supaya sujud kepada Adam, tetapi iblis ingkar. “Aku lebih mulia darinya, Kau jadikan aku daripada api, manakala dia (Adam) Engkau ciptakan daripada tanah.” Lalu Allah murka dan mengutuknya serta disalinkan dengan pakaian laknat (rupanya yang elok ditukarkan menjadi hodoh). Selepas inilah ia dipanggil iblis LAKNATULLAH.

Jaann (bapa jin) melahirkan keturunan–keturunan yang terdiri daripada jin-jin islam dan jin-jin kafir (termasuk yang menjadi syaitan) tetapi iblis mempunyai anak cucu yang terdiri daripada syaitan-syaitan belaka. Kerana itu ia disebut ‘bapa syaitan’. Jin yang pertama (Jaann) dijadikan daripada api manakala keturunan selepasnya dilahirkan secara membiak (bila terjadi hubungan berlainan jantina) samalah seperti anak cucu Adam.

Dalam kitab jawi lama karangan AL-Haji Wan Ali al-Jambui yang menulis dari petikan As-Showi, menyebut bahawa Qurtubi mengatakan terdapatnya perselisihan pendapat sama ada iblis itu beranak dan berketurunan daripada benihnya senderi atau mempunyai pasangan seperti Adam berpasangan dengan Hawa. Asy’bi mengatakan bahawa iblis itu ada pasangannya bagi melahirkan zuriat. Tetapi menurut Mujahid, Allah menjadikan ditubuhnya dua alat kelamin lelaki dan wanita (mungkin selepas menerima kutukan daripada Allah s.w.t) satu di sebelah paha kirinya alat kelamin perempuan, dan satu di sebelah paha kanannya alat kelamin lelaki. Iblis melakukan pemuasan dan pembenihan dengan dirinya sendiri iaitu dengan memasukkan alat jantina di sebelah kanan masuk ke dalam alat jantina di sebelah kirinya.

Dari hasil hubungan seksual tersebut, iblis setiap hari bertelur sebanyak sepuluh butir dan kemudian menetaskannya. Di dalam satu butir telur terdapat tujuh puluh syaitan jantan dan betina.

Dalam sebuah hadis daripada Zaid b. Mujahid menyatakan bahawa iblis mempunyai lima anak iaitu yang diciptakan pada peringkat permulaan:
1) Thabr yang selalu mendatangi manusia yang menghadapi masalah seperti kematian, kerugian, kecelakaan, hilang harta benda dan pangkat. Ia mendorong manusia supaya berputus asa, keluh-kesah, mencarik-carik baju, meratapi kematian dan menyalahkan Allah.
2) Al-Awar berusaha memujuk manusia supaya melakukan zina (meniup liang kemaluan lelaki dan wanita). Ia membujuk dengan mengatakan betapa nikmatnya pekerjaan nista dan keji ini diteruskan.
3) Maswath mendorong manusia supaya berdusta dan berbohong. Ia cukup seronok jika ada kelompok yang mencanangkan berita bohong untuk dipercayai.
4) Dasim bertugas untuk menggoda orang yang mahu masuk ke dalam rumah agar tidak memberi salam berusaha mencerai beraikan pasangan suami isteri dengan cara menanamkan rasa benci dan sakit hati (dengan memperlihatkan kesalahan) antara keduanya hingga berlaku cerai berai.
5) Manakala Zainabur adalah dari golongan syaitan yang berkeliaran di pasar-pasar dan merata tempat untuk menyuburkan pertangkaran, tipu menipu, caci celah dan berbunuhan sesama manusia.

Kelima-lima anak iblis di atas menjadi pemimpin dalam tugas-tugas tadi dengan mempunyai kekuatan tentera yang tidak terhingga banyaknya yang terdiri daripada syaitan-syaitan. Mereka mengirimkan beberapa pasukannya pada setiap hari (dari singgahsana yang terletak di permukaan laut untuk menimpakan fitnah ke atas manusia. Mana-mana syaitan yang berjaya membuat fitnah yang lebih besar maka mereka akan lebih di muliakan dan menjadi orang-orang besar iblis. Syaitan mendatangi iblis dan melaporkan “Tiadalah aku meninggalkan
ia, sehingga aku berjaya mencerai-beraikan antara dia dan isterinya,” lalu iblis berkata “ Syabas engkau harapanku.”

Tugas-tugas syaitan kemudian dipecahkan lagi mengikut bidang kepakaran masing-masing. Syaitan yang bernama Khanzab bergiat untuk memisahkan seorang yang hafal Al-Quran supaya lupa akan bacaannya. Dalam satu hadis menyebut: “Sesungguhnya syaitan Aqnnash ini bertelur sebanyak 30 butir. Sepuluh butir di maghrib, sepuluh butir di Masrik dan sepuluh butir lagi di tengah-tengah bumi. Dan setiap telurnya keluar jenis-jenis syaitan seperti singa, kala jengking, ular dan lain-lain.

Orang arab berpendapat bahawa jin dan syaitan yang menghuni di Syam (Syria) dan India, merupakan bilangan yang terbanyak dan kuat. Ketua syaitan di Syam dipanggil Darkaadzab, manakala ketua syaitan di India dipanggil dengan nama Tankuwir. Dari Atha dari Ibn Abbas, katanya “Al-Mukhannats itu anak-anak jin.” Seseorang bertanya kepada Ibn Abbas, “bagaimana boleh begitu.” Jawab Ibn Abbas “lelaki yang mencampuri isterinya semasa dalam haid, kalau dia melakukannya, maka syaitan akan mendahuluinya dan jika isterinya hamil anak yang dilahirkan itu ialah Al-Mukhannats.

Manakala dikalangan penganut agama kristian pula mengenali nama Lucifer sebagai salah satu nama syaitan. Nama lain syaitan seperti yang terdapat dalam Perjanjian Baru ialah Ba’al Zabul.

Manakala Qarin pula ialah jin yang diciptakan bersama lahirnya seorang manusia baik lelaki atau perempuan, jelasnya setiap orang (termasuk nabi dan rasul) mempunyai kembarnya iaitu jin pendamping yang terdiri dari kalangan syaitan (yang berdiri disebelah kiri bahu). Qarin ini tugasnya ialah mengarah manusia supaya terjerumus ke lembah kesesatan, sebaliknya jika manusia berjaya mengislamkan Qarin ini, maka akan selamatlah mereka dunia akhirat. Sabda Nabi Muhamad s.a.w yang bermaksud “sesungguhnya seorang mukmin itu benar-benar diperkosa oleh syaitannya sebagaimana seseorang daripada kamu memperkosa (menunggang) untanya dalam perjalanan.” Maksud hadis ini menjelaskan bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa berazam, berusaha supaya manusia menurut kehandaknya yang mana mereka melakukan perkara-perkara yang menentang hukum Allah. Mereka ini golongan yang menjadi tunggangan Qarin.


Rasulullah s.a.w Menemui Cicit Iblis

Qaadhi ‘Iyaadh dalam kitab tafsirnya meriwayatkan hadis daripada Anas r.a yang menceritakan pertemuan Rasulullah s.a.w dengan jin (menyerupai orang tua yang membawa tongkat) di Mekah. Pada masa itu ia bersama dengan Rasulullah s.a.w di satu kawasan yang berbukit. Dari beberapa tanda yang menunjukkan kesan-kesan yang ia telah menempuh perjalanan yang jauh dan sangat lama. Turut kedengaran bunyi suara nyanyiannya menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w bahawa ia adalah jin.

Apabila Rasulullah s.a.w bertanya latar belakangnya, ia pun memperkenalkan dirinya sebagai Hammah b. Haim b. Laaqis b. Iblis. Bermakna ia adalah cicit kepada iblis. Selanjutnya ia menerangkan umurnya yang hampir sama dengan umur dunia dan ia telah pun berada di dunia sewaktu Qabil membunuh Haabil. Banyak sekali ia menceritakan tentang pengalaman-pengalamannya yang silam. Ia bertemu dengan Nabi Musa a.s yang kemudian mengajarnya At-Taurat manakala Nabi Isa bin Maryam mengajarinya Injil. Ia juga menyampaikan salam Nabi Isa a.s kepada Rasulullah s.a.w yang kemudiannya menyambut salam tersebut dengan ucapan salam sejahtera ke atas nabi Isa dan ke atasnya (Hammah).

Haamah yang sudah bersedia mengikut ajaran islam meminta Rasulullah s.a.w mengajarnya Al-Quran. Baginda menunaikan hajatnya dengan mengajarnya sepuluh surah Al-Quran. Semasa kewafatan Rasulullah s.a.w Hammah yang mengetahuinya terlebih dahulu tidak menghebahkan berita tersebut kepada para sahabat.