Dalam perjalanan tersebut tidak banyak perkara yang dibualkan oleh mereka bertiga. Cuma sesekali mereka bercerita berkenaan dengan rakan yang baru mereka lawati sebentar tadi. Mereka agak terperanjat dan bersimpati apabila bertemu rakan mereka yang sakit itu, keadaannya sudah banyak berubah, badannya yang kurus kering dan hanya berlapikkan kulit sahaja. Mukanya yang cengkung serta hanya berbaring sepanjang masa. Tapi apa yang lebih mengejutkan mereka ialah perut rakan mereka itu seperti perut perempuan mengandung sembilan bulan, kelihatan buncit dengan urat-urat yang jelas kelihatan seperti belon yang menunggu masa untuk meletup. Menurut cerita isteri rakannya itu, dipercayai rakan mereka yang malang itu terkena sihir dari seseorang yang tidak berpuas-hati dan berdendam dengan si sakit. Sudah banyak wang dicurahkan untuk mengubati sakit busungnya itu namun belum serasi. Kata isteri rakan mereka itu lagi, ke hospital pun sudah di bawa, tapi setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengambil keputusan untuk membedah perut suaminya. Lalu, isterinya telah meminta untuk menangguhkan sementara pembedahan tersebut untuk mencuba rawatan tradisional pula. Doktor pula memahami keadaan dan perasaan isteri si sakit dan bersetuju untuk memberi peluang kepada dia mengubati suami secara tradisional terlebih dahulu.
Hampir setengah jam dalam perjalanan, rakannya yang memandu ternampak sebuah gerai kecil di tepi jalan. Lalu tanpa bertanya kepada dua rakannya yang lain, dia terus memberhentikan mpvnya di tepi jalan di depan gerai tersebut. Masih kelihatan dua tiga orang pelanggan dalam gerai tersebut. Si pemandu yang pernah beberapa kali melalui jalan tersebut agak terpaku seperti berfikir sejenak. “Setahu saya kawasan hutan ini mana ada kedai, mana ada rumah orang. Tapi kalau kita singgah sebentar pun ok juga, boleh basahkan tekak sambil menghilangkan mengantuk.” Kata Mail membuka perbualan setelah diam sejenak. Memang Mail yang memandu pada ketika itu. Iskandar yang duduk di kerusi belakang bersetuju saja dengan ajakkan Mail tadi, kebetulan dia pun hampir terlelap di kerusi belakang. “Kau macam mana Aziz?” soal Iskandar kepada rakan di sebelah Mail. “Aku ikut je,” tingkah Aziz.
Kebetulan mereka berhenti 50 meter agak terlajak sedikit, tapi Mail segera mengundurkan keretanya supaya dekat dengan gerai tersebut. Sebaik turun saja dari mpv Mail mengucap panjang, “Kenapa Mail?” soal Aziz yang agak terkejut dengan gelagat rakannya itu. “Alahai! Tayar bocor la pulak,” dengan agak kesal Mail memberitahu rakan-rakannya yang lain. Agak menghairankan mereka bertiga, kerana dalam perjalanan tadi tak ada tanda-tanda kebocoran pun, selalunya kalau ada masalah tayar pasti orang kat dalam akan rasa sesuatu, tapi mereka tidak. Tanpa berlengah mereka pun mengambil keputusan untuk menukar tayar yang bocor itu, untung kerana tayar ganti dalam keadaan elok, disamping berada di depan gerai. “Setidak-tidaknya ada juga sumber cahaya,” kata Aziz menceriakan keadaan.
hampir saja selesai menukar tayar, kelihatan gerai itu seperti hendak ditutup, lampu-lampunya juga ditutup satu persatu, memang sudah larut benar ketika itu. “Tak sampai la hajat kita malam ni,” perlahan saja suara Iskanadar memberitahu rakan-rakannya. Aziz dengan Mail hanya mampu menarik nafas panjang, sudah la penat kedai pula nak tutup. Tidak lama kemudian mereka melihat 2 orang dewasa yang berjubah hitam keluar dari kedai itu menuju ke arah mereka. Cahaya bulan yang melewati 20hb islam masih cerah dengan kelembutan cahayanya menyuluh bumi. Agak jelas kelihatan kedua-dua orang yang berjubah itu berjalan beriringan. Si lelaki berjalan dengan bertongkat manakala yang perempuan pula berjalan seperti seorang yang tempang kakinya. Iskandar yang kebetulan sedang mengepam angin tayar segera memberi salam apabila pasangan berjubah itu menghampiri mereka. Namun, kedua-duanya macam endah tak endah sahaja dengan salam yang diberi. Sebaliknya mereka menyatakan mahu menumpang untuk ke Pekan Mertakab, kata mereka mahu ke rumah anak buahnya yang baru bersalin anak sulung. Aziz, Iskandar dan Mail tidak keberatan untuk menumpangkan mereka. Semasa dalam mpv Mail berpindah ke kerusi belakang mengambil giliran untuk berehat. Manakala Aziz pula bertindak sebagai pemandu dengan ditemani oleh Iskandar. 2 pasangan berjubah tadi pula duduk di kerusi tengah.
Keadaan agak sunyi, masing-masing mendiamkan diri melayani lamunan masing-masing. Senang melihat ke luar, tenang tapi kadang-kala agak menyeramkan. Agak lama juga masing-masing mendiamkan diri, namun tidak lama kemudian kedengaran suara Iskandar yang duduk di sebelah pemandu bertasbih dan diselangselikan dengan bertakbir. Hajatnya untuk menghilangkan mengantuk. Pada mula keadaan seperti biasa biasa, cuma kedengaran suara Iskandar sahaja mengalun tasbih, tapi keadaan berubah selepas itu, ada bunyi menderam dan mendengus di belakang. Mulanya tidak jelas kerana tenggelam timbul dengan bunyi enjin yang bergerak, tapi makin lama makin jelas suara dengusan itu. Kemuncaknya Aziz yang sedang memandu secara tiba-tiba bertakbir dengan lantang “Allah hu akbar”, “Is apa dah jadi ni?” tutur Aziz sambil matanya terpaku memandang cermin pandang belakang. Rupanya dia ternampak dari cermin itu wajah dua lembaga berkepala beruk sedang merenungnya dengan sorotan mata yang tajam. Habis saja mendengar cerita Aziz, dengan sepantas kilat Iskandar berpaling ke belakang, tapi hairan keadaan macam biasa tak ada apa-apa perubahan kepada tetamu mereka pun. Kecuali kedua-dua tetamu mereka itu menutup wajah mereka dengan jubah yang di tarik ke atas.
Mpv yang mereka naiki terus meluncur, keadaan agak terkawal walaupun hati masing-masing sudah mulai gelisah. Namun begitu, Aziz yang memandu tetap berdebar-debar,. Kejadian tadi bagaikan satu permulaan untuk episod seterusnya. Perasaannya masih tidak tenteram, dia bagaimanapun tidak berani lagi memandang cermin pandang belakang untuk kedua kalinya. Tapi tidak lama kemudian Mail yang duduk di bahagian belakang sekali kelihatan gelisah, dia pada mulanya bercadang hendak melelapkan mata buat seketika. Tapi dalam pada itu, dia mula tercium satu bau yang agak keras, bau yang begitu tidak menyenangkan. “Apa bau busuk ni, macam bau bangkai.” Ujar Mail sambil tangannya melibas ke kiri dan ke kanan. Apakala terdengar rungutan Mail, dengan spontan saja Iskandar berpaling ke belakang, alangkah terkejutnya dia, kerana ternampak seolah-olah dua orang pasangan berjubah di belakangnya sudah tidak mempunyai kepala. Hatinya mula tertanya-tanya, “mimpi ke aku ni?” Dan bagaikan tahu gerak hati Iskandar, lelaki yang berjubah itu tiba-tiba berkata “awak janganlah bimbang, kami ni waliyullah!”
Lalu dalam kekalutan itu Iskandar berpaling menatap Aziz sebentar sebelum sekali lagi melihat ke belakang. Lalu untuk kesekian kalinya dia terperanjat, kerana seperti yang diberitahu oleh Aziz tadi kepala pasangan berjubah itu telah berubah bentuk, satu berbentuk beruk dan satu lagi berkepalakan naga. Meremang bulu roma Iskandar, dia segera bertempik “masyaAllah!! Aziz hentikan kereta, kereta kita ditumpangi iblis.” Agak gementar suara Iskandar kepada Aziz. “Tidak, teruskan jalan,” pintas makhluk berjubah di belakangnya. Suaranya agak berubah, garau dan kasar. Tapi Aziz telah memberhentikan mpv itu, sebaik saja berhenti pintu belakang terbuka dengan sendirinya. Bau busuk masih menusuk hidung, kelihatan pokok pukul lima di sebelah kanan kenderaan mereka bergoyang dahannya sedangkan angin tidak bertiup kuat. Manakala bunyi seakan rantai ditarik kedengaran di sebalik rimbun pokok-pokok renek di sebelah kiri. “Ceh engkau iblis laknatullah,” tempik Mail dari belakang. Serentak dengan itu tiba-tiba pasangan berjubah itu terus lenyap, “damm” bunyi pintu mpv tertutup dengan kasar. Kemudian mpv itu terus bergoncang dengan kuat, bergoyang ke kiri dan ke kanan.
Dalam situasi yang mendebarkan itu, Aziz dan Iskandar terus melompat keluar. Kemudian dituruti oleh Mail yang agak lambat sedikit kerana dia duduk di bahagian belakang sekali. Setelah mereka bertiga berada di luar, mpv itu berhenti bergoncang. Bunyi ranting patah kedengaran berlegar-legar mengelilingi mereka. Mata ketiga-tiga sahabat itu melilau memerhati keadaan sekeliling, kemudian tanpa disangka sepantas kilat mereka melihat dua objek hitam berterbangan ke udara menghala ke arah hutan tebal dan terus hilang ditelan kegelapan malam. Agak lama juga mereka terpaku, setelah perasaan masing-masing agak terkawal, mereka pun cepat-cepat menaiki kenderaan itu dan meneruskan perjalanan mereka. Kejadian menyeramkan itu terus menghantui mereka sepanjang perjalanan pulang, sekurang-kurangnya pengalaman yang jarang-jarang ditempuhi itu membuktikan syaitan atau iblis akan terus menggoncang keimanan dan ketakwaan keturunan Adam di muka bumi ini sehinggalah hari kiamat menjelma.