Suatu masa dulu, pendagang dan ahli pelayaran dari benua Eropah yang mendarat di kepulauan melayu secara tidak langsung telah diperkenalkan kepada spesis ini yang begitu tinggi nilai pasarannya. Ini disebabkan keunikannya jika dibandingkan dengan barangan lain secara tidak langsung telah memikat hati pendagang dari benua Eropah tersebut. Penduduk tempatan pada masa itu, telah memberitahu mereka burung ini ada nilai keanehannya serta amat berharga. Dikalangan penduduk tempatan burung itu dikenali sebagai ‘Manuk Dewata”. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai ‘God’s Birds’, manakala pendagang Belanda pula mengenalinya sebagai ‘Passaros de Sol’.
Pada 1598, seorang naturalis berbangsa Belanda, John van Linschoten yang menulis dalam bahasa latin menamakannya ‘Avis paradiseus’ ataupun ‘Bird of Paradise’. John memberi gelaran ‘Burung Kayangan’ setelah membuat pemerhatian dan kajian yang dilakukan dengan bantuan penduduk-penduduk tempatan. Di kebanyakan tempat di Kepulauan Melayu, terutamanya di Maluku, Ambon, Sulewesi, Timor, Papua New Guinea dan beberapa tempat lagi, burung ini lebih dikenali dengan panggilan ‘Cendera Wasi’. Ini bersandarkan kefahaman dan kepercayaan masyarakat tempatan yang masih berpegang kepada animisme dan sebahagiannya hindu-buddha. ‘Cendera’ atau dewa-dewi bulan dan ‘wasi’ bermaksud wakil atau utusan, jadi Cenderawasi bermaksud utusan dewa-dewi bulan.
Lagenda Burung Cenderawasih menyebut burung ini dipercayai hidup di angkasa raya dan tidak pernah turun ke bumi. Warna bulunya yang kelihatan lebih cantik dari burung Merak, Kuang dan Bayan. Bulunya terdiri dari pelbagai warna keemasan serta metalik serta berbeza mengikut tempat burung itu ditemui. Cenderawasih kononnya tidak memakan sebarang serangga ataupun buah-buahan, ia dikhabarkan meminum butiran air dalam kepulauan awan. Ada juga fahaman mistik yang percaya bahawa bulu putihnya dikatakan boleh bertukar menjadi berlian, bulu hitam menjadi permata, bulu hijau menjadi zamrud manakala bulu merah menjadi delima. Justeru, disebabkan Cenderawasih memiliki pelbagai warna tidak hairanlah nilainya mencecah ribuan ringgit.
Penduduk peribumi di mana burung itu ditemui, secara tradisinya telah mempunyai fahaman tradisi yang kuat terhadap spesis burung ini. Kononnya dapat dijadikan pelaris rezeki, pengasih, penyembuh penyakit dan seribu satu kegunaan mengikut keperluan individu tersebut. Selain itu, bulu Cenderawasih juga dijadikan perhiasan kerabat diraja dan golongan bangsawan. Oleh kerana harganya yang mahal, pihak pendagang Eropah yang mendapat bekalan yang telah diawetkan, telah memperdagangkan kepada orang kenamaan serta golongan bangsawan di Eropah. Ratusan ribu spesis ini telah diburu oleh penduduk tempatan di kepulauan New Guinea, Ambon, Moluku, Jobie, Pulau Aru, Gilolo serta dibeberapa kepulauan lain.
Hampir tiga ratus tahun lebih rahsia Cenderawasih tidak diketahui, ini disebabkan kawalan ketat ketua kaum atau suku serta pihak pemerintah tempatan sendiri yang secara langsung telah mendapat keuntungan dengan membekalkan Cenderawasih awet kepada pendagang-pendagang Eropah. Sehingga pada 1850-an, beberapa orang naturalis Eropah dengan keizinan pemerintah telah masuk ke hutan rimba bersama sekumpulan penduduk tempatan untuk mengkaji dan mengumpul seberapa banyak maklumat sebenar tentang burung yang sangat istimewa itu. Kebanyakan spesisnya hampir pupus akibat diburu dan diawetkan kerana harganya yang mahal. Salah seorang naturalis yang membuat kajian terperinci mengenai Cenderawasih ialah Alfred Russel Wallace. Dengan segala peralatan yang lengkap, serta pekerja yang mahir dan berpengalaman tentang keadaan hutan-hutan yang dituju, hasilnya pengkaji utusan penjajah itu telah berhasil mengumpul lebih 100 jenis spesis ‘Bird of Paradise’.
Daripada jumlah itu, didapati sebanyak 37 jenis yang sangat menarik dengan bulu yang mengkagumkan serta warna yang sangat luar biasa. Spesis Cenderawasih ini diberi nama saintifik untuk membezakan satu sama lain. Segala catitan lengkap serta pengalaman pengembaraan Alfred Russel Walace sepanjang lebih enam tahun menjelajah ke daerah-daearah pendalaman Kepulauan Melayu telah dicetak dalam bentuk buku yang sempurna serta diterbitkan buat pertama kali pada 1869. Di antara spesis Cenderawasih yang dikumpulkan itu, terdapat juga jenis yang besar dengan bulu yang panjang. Manakala dari kawasan New Guinea diperolehi spesis yang dinamakan ‘Merak Kayangan’. Burung ini memiliki ekor sepanjang 60 cm berwarna kebiruan, sayap kembang seakan merak dengan warna keemasan, biru metalik dan hijau. Berparuh sedikit panjang dengan bulu dada yang lembut seperti sutera atau baldu berwarna ungu kekuningan. Keseluruhan ‘Merak Kayangan’ ini boleh mencapai 150 cm.
Semua jenis Cenderawasih seperti juga merak serta kuang memakan buah-buahan serta serangga. Bezanya Cenderawasih tinggal di puncak pohon yang tinggi. Sementara merak dan kuang hanya tinggal di tanah. Burung yang memiliki rupa serta bulu yang sangat teristimewa cantik dan sangat bernilai ini amat pantas bergerak dalam keadaan semulajadinya. Sudah tentu sangat sukar di temui kerana tempatnya jauh di kawasan rimba belantara dan pergunungan. Perkara mistik yang dihubungkait dengan makhluk cantik ciptaan Allah s.w.t itu, masih kurang pasti kebenarannya. Mungkin ada lagi rahsia tentang perihal mistik yang belum lagi terbongkar dengan bukti-bukti yang jelas. Yang pasti tanpa mistiknya pun, Cenderawasih tetap hebat dengan keunikan rupa bentuknya.