Rabu, 9 September 2009

RUPA DAN BENTUK JIN / SYAITAN

Memperlihatkan diri dalam bentuk rupa yang asal atau berada dalam sifatnya yang hakiki adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan oleh jin ataupun syaitan. Dalam lain perkataan, manusia tidak boleh melihat mereka dalam kewujudannya yang asli, kerana Allah s.w.t telah memperkenankan permintaan bapak jin (ketika mula diciptakan) agar ia dapat melihat tetapi ia sendiri tidak boleh dilihat, “Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari semua tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.” (Surah Al-A’raaf:27). Namun demikian, jin pula tidak boleh melihat malaikat kerana malaikat diciptakan daripada cahaya yang sudah pasti lebih hebat berbanding api.

Maka barang sesiapa yang mendakwa dia telah melihat jin/syaitan (dalam keadaan rupa sebenar) maka dia sebenarnya telah berdusta, kecuali dia adalah seorang nabi. Sebab bagi para nabi, melihat jin/syaitan adalah sesuatu mukjizat (bukti kenabian). Al-Qusyairi menyatakan, ‘Allah s.w.t telah menetapkan (mengikut hukum alam) bahawa anak cucu Adam tidak dapat melihat syaitan di dunia’. Manakala Al-Baihaqi meriwayatkan dalam ‘Manaqib Asy-Syafi’e dengan sanad dari Ar-Rabi’’ katanya, “saya mendengar ‘As-Syafi’e berkata, barangsiapa mendakwa dirinya melihat jin (dalam bentuk asli), maka kami menganggap syahadahnya telah batal kecuali ia adalah seorang nabi”.

Apapun mereka yang mendakwa telah melihat jin, mungkin ketika jin telah menampakkan diri dalam bentuk yang memang boleh dilihat (menyerupai atau menyamar dalam bentuk manusia dan haiwan) maka dalam hal ini tidak mengapa, kerana perkara ini ada disebut dalam pelbagai riwayat. Dalam buku ‘Aqidah Islam’ Prof Sabiq menulis, jin atau syaitan itu secara aslinya tidak dapat di lihat oleh mata zahir. Tidak diketahui bagaimana bentuknya dan mereka mempunyai kuasa menjelma diri dalam bentuk-bentuk yang lain. Namun begitu, ada juba yang berpendapat bahawa anak-anak kecil yang berusia 1 hingga 2 tahun dapat melihat jin dalam bentuk yang asli.

Bagaimanapun, di dalam situasi yang tertentu, manusia sebenarnya masih mampu melihat jin iaitu apabila ia dilakukan melalui upacara meminum air sihir tertentu atau pun apabila seseorang manusia itu terkena sihir. Air ini bila berada dalam tubuh seseorang, ia akan membentuk semacam ‘pusat’ besi magnet yang mampu menarik syaitan-syaitan untuk masuk ke dalam tubuhnya. Dengan ini, ia akan memberi gangguan terhadap susunan fizikalnya (kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri). Ini seterusnya mampu memberikan kekuatan kepada dirinya untuk melihat, mendengar dan mudah dikuasai oleh jin atau syaitan tersebut.

Penjelmaan dalam bentuk lain seperti menyerupai sahabat terdekat, kekasih atau suami wanita (lebih-lebih lagi untuk waktu yang lama) adalah sesuatu yang sulit dilakukan oleh jin mahupun syaitan. Jin atau syaitan sebenarnya akan menderita kesakitan sewaktu hendak menukarkan jasadnya ke dalam bentuk yang asal. Ini memerlukan masa yang lama dan dalam proses pertukaran ini jin ataupun syaitan sebenarnya akan mengalami penderitaan yang teruk. Disamping itu, ia juga takut akan perkara-perkara yang boleh mengakibatkan risiko (kerana ia pun takutkan manusia) sama ada tertangkap atau mati dibunuh. Bila tertangkap dan dibaca ayat kursi kepadanya, nescaya ia akan menggeletar sehingga boleh mengalami stres yang berat dan akhirnya mati. Kalau tidak pun ia akan lemah longlai dan menjadi tidak bermaya.

Jenis-Jenis Dan Bentuk Jelmaan Jin Serta Syaitan

Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut mengenai pelbagai jenis jin menerusi sabdanya, “Jin terbahagi kepada tiga kelompok. Satu kelompok mempunyai sayap yang membolehkan mereka terbang ke udara (jin jenis ini tidak makan dan tidak minum serta tidak mempunyai keturunan). Satu pertiga lagi berbentuk seperti ular dan anjing, manakala sepertiga lagi boleh bertukar bentuk dari satu bentuk ke bentuk yang lain,” Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan sanad sahih. Dan menurut hadis yang lain, Allah s.w.t telah menciptakan jin itu tiga jenis. Ada yang bertempat di tubuh ular, kala jengking dan rumput-rumput. Ada yang sebangsa dengan angin, terbang di udara. Dan ada juga golongan seperti manusia yang akan mendapat seksaan dan dihisab di Padang Mahsyar.

Syaikul Islam Ibn Tamiyah berkata, “Jin dapat menyerupai bentuk binatang seperti ular (rupa bentuk yang sangat disukai oleh jin), kala jengking, unta, sapi, kambing, kuda, baghal, burung dan manusia berketurunan Adam”. Manakala dalam Bible, ular disebut sebagai penjelmaan syaitan. Menurut kepercayaan mereka yang beragama kristian, syaitan telah menjelma seperti ular untuk menggoda Eva (hawa) supaya memakan buah larangan di dalam syurga. Manakala bagi kalangan masyarakat India pula, ular jenis ‘Cobra Capella’ merupakan makhluk suci.

Ular putih merupakan jelmaan jin islam yang sangat jarang ditemui dan ia menyerupai seakan-akan tongkat perak. Bunuhlah semua ular selepas diperingatkan tiga kali iaitu dengan cara melaungkan azan sebanyak tiga kali. Kecuali jin putih yang bentuknya seperti tongkat perak. Dalam sebuah hadis marfu’, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya di Madinah itu banyak jin yang telah masuk islam. Jika kamu sekalian melihat sebahagian haiwan itu (ular itu), maka laungkan azan tiga kali. Dan jika ia tetap menampakkan dirinya ( tidak beredar), maka bunuhlah dia.”

Wahab b. Munabbih ketika menceritakan pertemuannya dengan jin islam di tempat tawaf pada satu musim haji. “Selesai aku bertawaf, kami duduk di halaman masjid. Lalu aku berkata kepadanya, hulurkan tanganmu kepadaku. Ternyata tangannya itu mempunyai kuku seperti kucing dan berbulu halus. Kemudian aku meraba pula bahunya dan terasa seperti ia bersayap.” Penjelmaan jin dalam pelbagai bentuk ini adalah kerana Allah s.w.t telah mengajarkan mereka beberapa kalimah dan amalan tertentu. Apabila dilakukan dan disebut kalimah-kalimah tersebut, maka Allah s.w.t menukarkannya (jin) dari satu rupa kepada satu rupa yang lain. Ini membuktikan bahawa jin-jin itu tidak ada upaya mengubah dirinya sendiri tanpa izin Allah s.w.t. Bagaimanapun, jin yang cuba menjelma bagi kedua kalinya (pada masa yang sama) kepada rupa yang lebih menakutkan dan menggerikan, maka Rasulullah s.a.w menyarankan bahawa ia boleh dibunuh. Berkaitan dengan rupa syaitan yang sebenar ada disebut dalam Al-Quran (As-Safat: 64-65) yang mana Allah s.w.t telah menggambarkan bahawa kepala syaitan itu adalah seperti buah zaqum yang tumbuh di dasar neraka jahanam.

Ada dua jenis ular dari kelompok jin (syaitan) yang sama sekali tidak boleh mengubah bentuk dirinya kepada bentuk yang lain. Yang pertama ialah ‘Al-Abtar’ dan kedua ‘Dzu ath-Thhifyatain’. Al-Abtar adalah ular yang pendek ekornya dan panjangnya sekitar sejengkal, manakala Dzu ath-Thhifyatain pula adalah sejenis ular yang mempunyai garis putih di belakangnya dan berwarna coklat. Namun, yang pastinya kedua-dua ular ini merupakan ular yang sangat bahaya serta boleh mengancam nyawa, kerana itu janganlah teragak-agak untuk membunuhnya. Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Ibn Umar r.a, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah s.a.w berkhutbah di atas mimbar: “Bunuhlah ular Dzu ath-Thhifyatain dan Al-Abtar, sebab kedua-dua binatang itu menyembur mata (membutakan mata) dan menggugurkan kandungannya.”

Jika selain daripada kedua-dua jenis ular tersebut ( iaitu jelmaan dari jin), kita disarankan agar mengusirnya terlebih dahulu iaitu dengan memperingatkannya sebanyak tiga kali. Jika ia lari perlu dibiarkan, tetapi jika ia degil jelaslah ia adalah makhluk yang jahat. Sebutlah nama Allah dan kemudian bunuhlah ia. Diriwayatkan dari Imam Ibn Abbas r.a, “Anjing juga termasuk dalam golongan jin. Ia juga merupakan salinan jin. Kalau ia mendengus-dengus dekat dengan makananmu, maka lemparkanlah makananmu ke arahnya, sebab ia mempunyai selera terhadapnya.” Jin yang menjelma sebagai anjing ini, dinyatakan sebagai kelompok jin yang lemah serta terdiri dari bangsa ‘Jin Al-Hinnu’. Cara mereka mendapatkan makanannya ialah melalui matanya.

Manakala anjing yang berwarna hitam pekat dengan dua bulatan putih di atas dua matanya pula adalah dari kalangan jin yang sangat jahat dan boleh dibunuh. Jin seperti ini tidak dapat mengubah diri dalam bentuk yang lain lagi. Mereka merupakan salah satu pengikut syaitan terkutuk yang tidak terkira banyaknya.