Kamil membuat keputusan tidak mahu naik ke rumah, langkahnya menuju ke satu sudut halaman, ke arah pokok mempelam. “Ahh.. baik aku duduk sini,” ngomel Kamil. Mata Kamil terus melihat-lihat ke arah jalan, hitam pekat. Dia masih menunggu kedatangan Nenek Samah. Malam semakin merangkak lewat, nyamuk makin banyak menghurungi Kamil, puas menampar, diselang-seli antara bunyi tamparan nyamuk dan bunyi badan di garu. Langit kelihatan cerah, nampak bintang bertebaran. Tempat Kamil duduk agak gelap, cahaya halaman rumah tidak benar-benar sampai ke tempat dia duduk. Ada bunyi lolongan anjing, mungkin binatang itu sedang ternampak sesuatu, tambahan lagi bulan malam ini begitu terang menyuluh bumi.
Kamil gelisah, bunyi suara anjing kedengaran semakin memanjang, bulu romanya terasa meremang, seram. Ada kelibat seperti bayang-bayang melintasinya, bunyi seolah-olah papan diseret juga antara dengar dengan tidak. Pap.. hampir menjerit Kamil bila terasa bahunya ditepuk dengan agak lembut. Dengan segera dia menoleh, ada susuk tubuh di depannya, rasanya macam dia kenal. “Hai Kamil, apa kau buat di sini, kenapa tak naik ke rumah?” Tanya Mak Limah yang tiba-tiba muncul di belakangnya. “Saya tengah tunggu Nek Samah,” sahut Kamil. Kalaulah rakan yang muncul begini pasti kena penendangku, fikir Kamil tidak puas-hati akibat terkejut dengan kedatangan Mak Limah. Mak Limah nak ke mana?” Soal Kamil kembali. “aku turun nak ambil umbut cekur,” balas Mak Limah. “Kau kata nak tunggu Nek Samah, apa kau pun tersampuk juga ke, kan Nek Samah dah lama sampai. Si Jamilah pun dah selamat melahirkan anak.” Terperanjat Kamil mendengar kata-kata Mak Limah, tanpa menunggu lama dia pun terus meluru naik ke rumah. Betapa terkejutnya Kamil, ketika kakinya baru saja melangkah masuk Nek Samah terus saja menegurnya dengan seulas senyum sengih menampakkan dua batang giginya,
“Baru sama Mil?” tegurnya sambil melirik kepada Kamil yang kebingungan.
I... i.... ia nek, “ jawab Kamil gugup.”
“Nenek dah lama sampai, Jamilah pun dah selamat melahirkan anaknya. Tapi malangnya, anaknya meninggal kerana tidak boleh diselamatkan lagi. Kalau Jamilah selamat, anaknya mesti mati.” Tutur Nek Samah panjang lebar menjelaskan keadaan yang berlaku kepada Kamil yang masih lagi terkebil-kebil.
“Haa.. sekarang tolong nenek sikit, kau ambik ini kemudian kau pergi tanamkan uri budak ni di bawah rumah! Ini ada lilin kau pasangkan sekali. Tanam betul-betul sekali dengan periuk ini.” Arah Nenek Samah sambil menghulurkan sebuah periuk yang berisi uri di dalamnya kepada Kamil. Kamil seperti dipukau mencapai periuk tersebut lalu membawanya menuruni tangga. Dengan hati-hati dia melangkah ke bawah rumah sambil membongkokkan sedikit badannya mengelakkan kepada dari terhantuk ke lantai rumah. Sampai di bawah rumah dia meletakkan periuk tersebut di tepi tiang, kemudian memacakkan lilin untuk memberikan sedikit cahaya, “biar mudah aku menggali,” fikir Kamil bersendirin. Cangkul sudah di tangan, lalu dengan sekali hayunan mata cangkul itu terus terbenam ke dalam tanah, ada lebih kurang dua hasta lubang tersebut digalinya. Kemudian dia mengangkat periuk tersebut dan meletakkan ke dalam lubang yang sudah sedia ternganga. Sewaktu mahu mengambus lubang tersebut Kamil ada terhidu bau seperti hamis kambing, tapi tidak diendahkannya. Mungkin kambing belaan.
Kamil mengesat peluh di dahi dengan lengannya, dia baru saja selesai meratakan tanah. Selepas saja meletakkan cangkul di bawah tangga, dia berpusing untuk naik ke atas rumah. Baru saja Kamil hendak melangkah naik, dia terpandang dalam samar kelihatan ada susuk tubuh di penjuru rumah di sebelah belakang dekat dengan dapur. Kawasan itu agak gelap kerana cahaya di halaman rumah tidak sampai sepenuhnya di bahagian dapur rumah itu. Bukan susuk tubuh orang tapi kelihatan seperti lembu. Tak mungkin lembu ada bawah rumah kerana kandang memang disediakan untuk lembu–lembu yang dipelihara. Kamil tidak puas hati, di ambil kembali lilin yang sudah diletakkan dekat lubang selepas selesai kerjanya tadi, dipegang semula lilin tersebut. Lalu diangkat lilin tersebut tinggi sedikit, tiba-tiba bagaikan terbang semangat Kamil. Antara percaya dan tidak, ia melihat seekor harimau besar sedang melintang meniarap sambil mengangakan mulutnya. Mata harimau itu tajam memandang ke arahnya, kelihatan jelas barisan giginya tersusun cantik tapi mengerikan. Harimau itu mengibaskan ekornya sambil lidahnya menjilat-jilat tubuhnya yang sedang berbaring itu. Tapi matanya tetap menyorot tepat ke arah Kamil, Kamil terpacak kaku. Lidahnya terasa kelu semangatnya sudah hilang.
Lalu dengan kaki yang mengigil, kami melangkah ke belakang. Mata tetap mengamati gerak-geri sang harimau tersebut. Wajahnya pucat disimbah peluh, manakan tidak berpeluh, harimau tersebut sebesar bapak lembu. Dengan perlahan-lahan Kamil meneruskan langkahnya ke belakang mendekati tangga. Hampir saja dia dengan tangga, Kamil melihat harimau tersebut bangun sambil menggerak-gerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Lalu bagaikan mendapat tenaga ghaib, Kamil terus melompat ke anak tangga, terus memanjat meluru masuk ke dalam rumah. Hampir saja dia melanggar Pak Jamal yang kebetulan berada dekat dengan muka pintu.
“Kenapa kau ni Kamil, macam di kejar harimau saja,” tanya Pak Jamal sambil memerhati ke arah batang tubuh Kamil yang kelihatan menggigil dan pucat itu.
“Ha... ha... ha..rr...” itu saja yang mampu keluar dari mulut Kamil. Selebihnya hanya terdengar nafas kencangnya turun naik selaju dengup jantungnya.
“Cuba tenang cerita satu persatu, kau ni memang menyusahkan orang.”
“Maafkan saya, saya ternampak harimau.” Ucap Kamil cuba menjelaskan kepada mereka yang ada di situ.
“Harimau di mana?
“Di bawah rumah,” ujar Kamil sambil jarinya mengarah ke bawah rumah.
“Sudah! Kalau takut pun jangan merepek, aku tak percaya ada harimau di bawah tu.” Pak Jamal membeliak mata kepada Jamal
“Sumpah pak ada saya jumpa harimau, sebesar bapak lembu.”
“Aku tak mahu dengar lagi semua itu, sekali lagi kau membuat kecoh aku patahkan leher kau.” Tegas Pak Jamal yang masih lagi bersedih dengan kematian cucu sulungnya.
Dan Nenek Samah hanya diam sambil tersengih melirik ke arah Kamil. “Mana ada harimau Mil, kau mengantuk agaknya. Dah la tu, sekarang keadaan Jamilah pun dah selamat jadi tugas saya pun dah selesai. Rasanya saya dah nak pulang.” Ujar Nenek Samah dengan lembut.
Ha.. Kamil, tunggu apa lagi, kau dengar kan Nek Samah mahu pulang. Pergi la kau hantar dia balik.”
“Apa hantar balik, sa.. saa..ya seorang.”