Rabu, 9 September 2009

PUAKA KUCING HITAM- page 3

Malam semakin larut, keadaan di sekeliling rumah sunyi sepi. Yang kedengaran hanya suara cacing tanah dan sekali-sekala bertingkah dengan suara cengkerik. Aku melemparkan pandangan ke luar rumah, mataku menghala ke arah jalan tapi cuma gelap gelita, ahh.. alangkah bosannya menunggu waktu berlalu. Orang yang ditunggu entah bila akan tiba. Aku memandang Jalil, leka menghisap rokok sambil berbaring atas sofa yang kebetulan ada di ruang tamu rumah tua itu. Bila jemu duduk, aku bangun berdiri memegang jenang pintu, pandanganku masih lagi tertumpu ke luar tapi hanya kegelapan yang aku nampak. Tiba-tiba ada bebayang sesuatu terbang melintas di hadapanku. Pantas sekali ia bergerak, berderau juga darahku kerana terperanjat. Aku cuba tenangkan perasaan, kadang-kala kalau gelabah macam-macam boleh terbayang. Aku kuatkan hati dan kali ini aku cuba lihat dengan lebih teliti. Tidak lama kemudian lintasan itu muncul kembali, aku tersenyum rupanya sang keluang sedang mengepak sayap. Menuju dan hinggap di sebatang pohon mempelam yang agak lebat buahnya. Lega, tidak ada apa yang aku perlu dikhuatirkan biar pun mungkin hanya untuk seketika.

Kalau diberi pilihan, aku lebih senang mencari bahan dan sumber cerita di kota. Sekurang-kurangnya semua kepayahan seperti sekarang dapat aku elakkan. Aku boleh menulis tentang gejala sosial, kisah perempuan cari makan atau cerita perompak mati ditembak, pendek kata beratus cerita yang boleh dikorek di kota. Tidak mungkin akan habis, setiap hari pasti timbul perkara baru pilih saja yang mana aku suka. Aku berpaling kembali melangkah ke dalam rumah, menuju ke arah sofa usang tidak jauh dari tempat Jalil baring, aku melabuhkan punggungku di atasnya. Mataku meliar lagi, Cuma kali ini memandang di sekitar dalam rumah. Aneh, rumah ini kelihatan bersih, seperti ada yang mengurus dan mengemasnya setiap hari. Begitu juga dengan sofa yang aku duduk walaupun usang tapi terjaga, tidak terdapat kesan habuk seperti ada tangan-tangan ghaib yang menjaganya. Memang menggerunkan rumah ini, tidak berpenghuni tapi seperti ada yang menunggu.

Dalam keadaan aku sedang melayan fikiran sendiri, secara mengejut kedengaran seperti suara orang berdehem, sepantas kilat aku memandang Jalil, bangsat betul sudah terlena rupanya dia. Dalam situasi ini, aku berbelah bagi sama ada mahu kejutkan Jalil atau biarkan saja. “Biar aku pastikan dulu apa bendanya,” tekad aku sambil menarik nafas. Mahu tidak mahu aku terpaksa menghadapi semua ini seorang diri terlebih dulu. Kemudian ada bunyi seolah-olah sesuatu sedang memijak ranting-ranting kering, bunyi kaki melangkah. Aku terus bangun dan serentak dengan itu bergerak ke arah pintu depan rumah tua itu. Sambil melangkah menghampiri pintu mataku meliar memerhati keadaan di sekelilingku, bimbang juga kalau-kalau ada sesuatu yang tiba-tiba muncul di belakang atau di sebelahku. Walaupun agak ketakutan, tapi seboleh-bolehnya aku tidak mahu tergopoh-gapah mengejutkan Jalil, yang pasti dada aku ketika itu terasa bedebar-debar. Mataku tertumpu ke arah jalan masuk ke rumah itu. Dari jauh aku melihat ada sesusuk tubuh yang sedang berjalan menghampiri rumah, aku tidak pasti manusia atau hantu. Tubuh itu kelihatan berbalam-balam, tidak jelas. Aku hanya menunggu.

Makin mendekati rumah, susuk tubuh itu berhenti sejenak berhampiran dengan sebatang pokok jejarum, dia juga seperti hendak memastikan sesuatu. semakin susuk tubuh itu mendekati, barulah kelihatan seorang tua yang pada fikiran aku sudah melewati usia 60-an, tapi tubuhnya tegap dan kemas cara jalannya. Nampak rambutnya yang sudah memutih dimamah usia, memakai baju hitam cara pakaian melayu lama. Orang tua itu menatap wajahku dengan sorotan mata yang tajam, aku jadi serba salah. “Assalammualaikum..,” suara garaunya memberi salam bila berhadapan dengan aku. Dan aku menjawab salamnya dengan perlahan bahkan seperti tidak kedengaran sama sekali. Tanpa menunggu lama, orang tua itu melangkah masuk ke dalam rumah, matanya terpaku ke arah Jalil yang terlunjur lena di atas sofa. Serta-merta aku mahu mengejutkan Jalil, segan rasanya kalau dia tidak sama menyambut orang yang ditunggu. Namun, orang tua itu menggoyang-goyangkan tangannya, isyarat agar aku tidak mengganggu Jalil, biarkan dia tidur terus. “Sudah lama menunggu,” ia memulakan percakapan di antara kami. “Begitulah kira-kiranya,” sahutku. “Maaflah bapak agak terlambat kerana ada urusan sedikit tadi. Tapi tak mengapalah, mari ikut bapak.” Katanya sambil melangkah ke arah pintu besar yang membahagikan antara ruang tamu dan ruang tengah rumah itu. Ternyata, pintu besar yang kelihatannya seperti berkunci, rupanya tidak berkunci. Mudah sahaja orang tua itu menolaknya. Kemudian orang tua yang membahasakan dirinya bapak itu bertindak memetik suis lampu. Dia seperti sudah sedia maklum dengan kedudukan rumah itu.

Seketika itu juga, ruangan yang tadi gelap menjadi terang benderang. Aku agak terpegun menyaksikan semua benda dan peralatan di dalam rumah besar itu. Ternyata rumah yang sudah berusia itu bukan setakat ruang tamunya sahaja yang bersih, tapi keadaan di ruang tengah juga tersusun rapi dan bersih. “Setiap hari bapak membersihkannya,” ujar orang tua itu seperti mampu membaca fikiranku, seterusnya menjawab segala persoalanku. “Bapak hanya menyempurnakan amanah untuk menjaga rumah ini.” Tambahnya lagi tanpa ditanya. Mataku masih lagi terpaku memerhati segenap ruang bahagian tengah rumah itu, keindahan rekaan dalaman, perhiasannya. Rasanya seolah-olah berada dalam zaman lampau. “Dah jangan terpegun begitu, mari ikut aku,” ujar orang tua itu mematikan terus pemerhatian aku. Orang tua itu mengorak langkahnya dengan aku mengekori di belakang. Kami sampai di depan sebuah bilik dalam rumah agam itu, dia menolak pintu bilik itu, juga tidak berkunci. Lalu terpampanglah di depan ku sebuah bilik yang cukup besar, lengkap dengan hiasan dan perabotnya, cukup indah seperti bilik untuk raja-raja beradu.

“Tempat tidur si Limah” ucap orang tua itu. Aku kehairanan, siapakah gerangannya si Limah itu. Gaya orang tua itu bercakap seperti aku sudah kenal dengan si empunya nama tersebut. Aku tergerak untuk bertanya, tapi lidahku kelu. Biarlah, nanti bila masa sesuai akan aku usulkan persoalan itu. Kami kemudian bergerak keluar dari bilik yang dikatakan milik si Limah itu. Kemudian aku terus mengikutnya, menuju ke satu bilik lagi. Dalam bilik yang kedua ini terdapat dua katil bujang, ada sebuah lampu meja jenis lama dan beberapa biji gelas yang berukir indah terletak di atas dulang suasa. Ada bejana teko dan sejambak bunga hiasan kertas sebagai perhiasan. “Bilik untuk tetamu,” ujarnya singkat. Aku hanya mampu mengangguk.