Helaian 1
Kuburan itu berhampiran dengan rumah besar yang terletak di hujung kampung. Betul-betul di kaki bukit, yang nampak seolah benteng pemagarnya.
Rumah besar kuno, dengan bentuk yang antik dan berukir-ukir buatan tangan seorang ahli ukir yang mahir pada zamannya. Di perkarangan belakang rumah besar itu, tumbuh sebatang pokok beringin yang besar dan rendang. Juga tempat menumpang pohon dedalu, yang hidup bermaharajalela, hampir-hampir sama dengan rendangnya pokok beringin itu.
Bentuk rumah kuno yang antik, dengan peralatan perabotnya juga terdiri dari barang-barang kuno dan antik. Kerusi meja, almari dan rak serta kusyen tamu, juga cermin besar di dinding.
Ada sekeping foto besar, foto seorang wanita yang wajahnya mirip dengan wajah Mona Lisa, sorotan matanya teguh dengan kelembutan seorang wanita, tapi tajam dengan maksud mendalam..
Tak seorang pun yang tahu, siapakah yang menjadi model di dalam foto usang itu. Melihat pada bingkai foto lukisan itu, umurnya tak kurang dari puluhan tahun. Ini jelas terlihat pada bahagian kayu jati yang berukir itu, sudah kelihatan dimakan bubuk. Pada canvas kertas lukisan foto wanita itu, dibahagian sudutnya sudah ada lubang-lubang tanda terhakis oleh air.
Ada keanehan pada wajah wanita dalam lukisan itu. Matanya yang lembut itu, seolah-olah menyimpan suatu misteri. walaupun lembut, namun cukup mempersonakan, seperti ia ingin memberitahu tentang suatu rahsia dalam hidupnya. Mata dalam lukisan itu seakan-akan hidup memandang ke mana sahaja kita berada, memandang sayu seolah ingin ikut bersama, atau hanya cuba mengekori untuk suatu pembalasan yang menyeramkan.
Di ruang dalam rumah kelihatan beberapa bilik, bilik tidur, bilik perpustakaan dan juga bilik stor. Manakala di bahagian dapurnya, dilengkapi dengan peralatan masak-memasak, di satu sudut terserlah kemewahannya rak-rak dan almari tempat pinggan mangkuk kuno buatan Cina dan Perancis yang diperbuat dari bahan porslen halus. Dengan motif bunga dan gambar naga berjuang.
Tiga bilik besar itu tidak pernah dibuka. Dari pintu belakang pula, kita dengan jelas dapat melihat sebuah bukit tersergam suram tidak diterangi oleh sinar matahari sepenuhnya. Dan sebatang jalan kecil yang menghubungkan rumah bahagian belakang dengan halaman hadapan yang luas.
Perasaan ganjil turut timbul bila berada di tempat seperti itu, macam kita berada disuasana zaman silam.
Sunyi sepi.
Tak ada manusia yang berani melalui kawasan itu. Dan rumah tua yang aneh itu, tetap utuh. Walaupun ada bahagian-bahagian yang sudah reput, cat yang dimamah usia, suram. Malah ada di bahagian-bahagian tertentu yang ditumbuhi kulat.
“Apa yang boleh kita dapat disini Lil?” aku bertanya kepada Jalil yang beria-ia membawa aku ke situ. “Nampaknya di sini tak ada bahan yang boleh dijadikan bahan cerita, yang ada hanya rumah tua tak ada penghuni ni saja, reput sana sini semak-samun. Silap-silap haribulan kita dipatuk ular tedung.” Kata ku dengan agak kesal, sebab dah bosan meninjau tapi tak nampak apa-apa yang boleh dijadikan bahan atau idea cerita.
Tempat itu memang membosankan, hendak memijak terpaksa berhati-hati, nyamuk usah cerita dah kenyang dengan darah kami agaknya. Aku memandang Jalil, tak faham aku apa matlamatnya Jalil membawa aku ke sini. Jalil macam tak terkesan dengan rungutan aku tadi, dia hanya sibuk dengan kemeranya. Kalau boleh semua sudut rumah dia nak ambil gambar, sebagai protes aku cuma mendiamkan diri, kalau boleh aku nak dia cepat-cepat ambil gambar kemudian kami boleh terus pergi dari sini. Aku dan tak larat menampar nyamuk, nyamuk tak mati pipiku yang merah.
Akhirnya ia mengisyaratkan telunjuknya, meminta aku supaya mengikutnya. Aku yang dah lama jemu menunggu terus bangun mengekori Jalil, kami bergerak hingga sampai di sebuah kuburan di belakang rumah itu. Sebuah kuburan tua, di dibina dengan batu marmar yang sudah runtuh sebahagiannya. Tidak ada sebatang pokok pun dikubur itu. Pada pendapat aku kubur ini adalah sebuah kubur lama yang terbiar tanpa dijaga. Kelihatan seperti ada tulisan yang tertulis sesuatu dengan huruf bercetak di dinding batu nisan yang dari batu pualam cina.
Tak jelas apa yang tertulis di batu nisan itu, diseleputi habuk dan debu. Dengan lancar Jalil mengesat debu itu hingga timbul tulisan. Tapi tulisan nama agak kabur, cuma tahunnya saja yang kelihatan. Di batu nisan itu tertulis bahawa kubur ini milik seseorang yang telah mati pada tahun 1885, dari tulisan nama pula aku mengagak bahawa kubur ini milik seorang perempuan. Ini kerana dari ejaan jawi lama yang bersisa di nisan itu seakan-akan mencatat nama Kasmah.
Tapi aku masih tidak berpuas hati lagi, untuk apa Jalil membawa aku ke sini, kalau sekadar untuk menunjukkan kubur tua ini kepada aku, banyak lagi kubur-kubur bersejarah yang boleh dilawati.
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan